SEREMBAN: Pengendali jenama restoran makanan segera A&W Malaysia Sdn. Bhd. (A&W) menyasarkan pembukaan lebih 150 cawangan di seluruh negara menjelang 2025 dengan peruntukan sebanyak RM75 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif A&W, George Ang berkata, tahun ini sahaja syarikat merancang untuk menambah 25 cawangan baharu terutama di Sabah dan Sarawak.
“Kami sudah mempunyai 70 cawangan A&W di Semenanjung Malaysia dan salah satu pelan pengembangan syarikat adalah untuk membuka cawangan baharu di Sabah dan Sarawak.
“Menjelang 2025, kami mesti mencapai sasaran lebih 150 cawangan di seluruh negara selaras dengan visi dan misi syarikat untuk meluaskan jenama A&W,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Restoran A&W Seremban dan Kafe Jamaica Blue yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut George, pihaknya turut menyasarkan jualan bernilai RM200 juta tahun ini dengan pembukaan 95 cawangan A&W sehingga akhir tahun 2022.
“Setiap bulan sasaran jualan adalah antara RM13 hingga RM15 juta malah dalam tempoh pandemik keuntungan kami sangat memberansangkan iaitu meningkat 15 peratus pada 2021 berbanding 2020 dan sasaran jualan lebih RM100 juta berjaya dicapai.
“Malah, kami berjaya mencatatkan jualan tertinggi pada Disember 2021 iaitu sebanyak RM13 juta dalam masa sebulan sahaja iaitu rekod terbaik dalam tempoh 15 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, George berkata, konsep moden retro yang yang diketengahkan di restoran A&W selain pengenalan menu-menu baharu diyakini dapat meningkatkan lagi jualan.
“Dalam masa terdekat sempena Hari Raya Aidilfitri dan bulan Ramadan, kami akan memperkenalkan menu baharu berasaskan cita rasa Melayu.
“Selain itu, pembukaan Kafe Jamaica Blue yang pertama di cawangan A&W Seremban ini merupakan salah satu kerjasama strategik syarikat untuk menawarkan kepelbagaian kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, restoran A&W di Seremban yang diberi nafas baharu dengan pengubahsuaian berkonsepkan moden retro memberi nilai tambah kepada Negeri Sembilan sebagai salah satu tarikan yang ikonik.
“Restoran A&W di Seremban ini satu-satunya bangunan lama yang masih dikekalkan sejak dibuka pada tahun 1978 dan meninggalkan nostalgia kepada masyarakat di sini.
“Tentunya, konsep retro ini sesuai dengan imej A&W yang telah lama menjadi tempat lepak kegemaran orang ramai selama beberapa dekad,” katanya.
Beliau memberitahu, restoran A&W itu turut membantu meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan kerana turut menjadi tarikan pengunjung dari luar selain memberi peluang kerjaya kepada masyarakat setempat. – UTUSAN










