PETALING JAYA: Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia melepasi paras RM6,000 satu tan, paras tertinggi pernah dicatatkan, selepas meningkat RM87 kepada RM6,054 dalam sesi d agangan Bursa Malaysia, semalam.
Pada sesi dagangan sebelah pagi, harga MSM Mac 2022 meningkat RM33 kepada RM6,000 satu tan selepas komoditi itu diniagakan antara RM5,986 dan RM6,054.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, peningkatan itu didorong oleh penawaran yang statik akibat kekurangan tenaga buruh terutama buruh asing.
Ia turut didorong oleh peningkatan permintaan berikutan aktiviti ekonomi yang semakin rancak.
Namun, beliau menjangkakan harga MSM kembali stabil sekitar RM4,000 pada suku pertama tahun ini.
“Sudah tentu peningkatan tersebut memberikan pulangan dari segi makro kepada negara, dari segi mikro kepada mereka yang dalam rantaian pengeluaran sawit, khususnya peladang, selain menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Namun, peladang harus berhati-hati menggunakan bonus peningkatan pulangan itu secara berhemah dan tidak melakukan perbelanjaan boros atau membeli barangan mewah yang disandarkan kepada pinjaman jangka panjang sehingga terpaksa melakukan bayaran ansuran jangka panjang kerana takut terkucil apabila harga kembali stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Public Investment Bank Berhad, Chong Hoe Leong berkata, industri minyak sawit menyaksikan kitaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan niaga hadapan MSM buat pertama kali melepasi RM6,000 satu tan semalam.
“Kami kekal optimis untuk sektor itu kerana kami menjangkakan trajektori pendapatan yang kukuh bagi syarikat perladangan.
“Kami berpendapat harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022 memandangkan bekalan minyak sayuran global yang ketat dan juga kekangan bekalan untuk minyak sawit dalam dua negara pengeluar teratas.
“Oleh itu, kami menyemak semula andaian harga MSM kami daripada RM3,500 setiap tan kepada RM4,300 setiap tan dan RM3,800 setiap untuk 2022 dan 2023, masing-masing,” katanya dalam satu nota kajian.
Hoe Leong memberitahu, inventori minyak sawit dijangka kekal ketat dalam tempoh terdekat kerana separuh pertama tahun ini adalah tempoh pengeluaran rendah bermusim bagi sektor perladangan kelapa sawit dan di tengah-tengah jangkaan permintaan yang semakin meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri pada Mei 2022.
Jelasnya, Public Investment berpendapat harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022.
“Selepas itu, harga MSM sepatutnya berkurang kerana kami mejangkakan pengeluaran meningkat apabila pekerja asing mula pulang ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










