PETALING JAYA: Sentimen perniagaan di Malaysia melonjak ke trajektori positif buat pertama kali sejak sembilan suku tahun sebelumnya dengan mencatatkan petunjuk keyakinan positif 7.6 peratus daripada negatif 0.3 peratus suku tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dalam kesemua sektor yang dikaji, sektor Perkhidmatan, Industri dan Perdagangan Borong & Runcit menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih baik
pada suku tahun pertama 2022.
Kata beliau, keyakinan perniagaan bagi sektor Perkhidmatan melonjak ke trajektori positif dengan 11.1 peratus pada suku tahun rujukan daripada susut 1.3 peratus ada suku tahun sebelumnya.
Jelasnya, sektor industri menggambarkan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan petunjuk keyakinan berkembang 12.2 peratus berbanding +3.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat
2021.
“Begitu juga, sektor Perdagangan Borong & Runcit menjangkakan prospek perniagaan yang lebih cerah dengan +4.0 peratus pada suku tahun rujukan berbanding +3.3 peratus pada suku tahun terdahulu. Sebaliknya, sektor Pembinaan
terus pesimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan -40.4 peratus pada suku tahun pertama 2022,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Pertama 2022.
Berkenaan hasil kasar, Mohd. Uzir berkata, sebanyak 33.5 peratus responden menjangkakan peningkatan dalam hasil kasar mereka bagi suku tahun pertama 2022 manakala 27.7 peratus menjangkakan penurunan yang seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +5.8 peratus.
Pada masa yang sama, katanya, sebanyak 38.8 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka tidak berubah berbanding suku tahun keempat 2021.
“Dari segi trend pekerjaan, 70.8 peratus pertubuhan merancang untuk mengekalkan tenaga kerja mereka pada suku tahun rujukan. Kira-kira 18.2 peratus pertubuhan berhasrat untuk mengambil lebih ramai
tenaga kerja, manakala 11.0 peratus meramal untuk mengurangkan tenaga kerja mereka yang mendorong imbangan bersih +7.2 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir menambah, prospek perniagaan bagi separuh pertama 2022 terus bertambah baik dengan imbangan bersih sebanyak +18.9 peratus berbanding +24.1 peratus yang dicatatkan untuk tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022.
Beliau menambah, tinjauan positif ini disokong terutamanya oleh sektor Perdagangan Borong & Runcit, Perkhidmatan dan Industri yang optimistik terhadap prestasi perniagaan mereka.
Perdagangan Borong & Runcit jelasnya, meramalkan prospek perniagaan yang menggalakkan bagi separuh pertama 2022 dengan imbangan bersih +27.0 peratus berbanding +35.1 peratus yang dicatatkan sebelum ini.
Pada masa yang sama, sektor Perkhidmatan menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +25.1 peratus daripada +24.3 peratus.
“Sektor industri juga meramalkan prestasi perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +17.7 peratus bagi Januari hingga Jun 2022 berbanding +24.5 peratus yang direkodkan sebelum ini. Sebaliknya, sektor
Pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -30.8 peratus berbanding -18.4 peratus yang dicatatkan sebelum ini,” jelas Mohd. Uzir. – UTUSAN










