UDA sasar lonjakan perniagaan di Johor - Utusan Malaysia

UDA sasar lonjakan perniagaan di Johor

NORLIZA Abdul Rahim melihat model pembangunan Bandar UDA Utama di Johor Bahru, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), menyasarkan lonjakan perniagaan di wilayah
selatan menerusi pelancaran projek hartanah baharu dan pelbagai inisiatif terkini di pusat beli-belah.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA terus mengorak langkah dalam merancang pelan terbaik bagi memajukan perniagaan di wilayah selatan terutama sekali dari segi hartanah serta pusat beli-belah dalam merealisasikan hasrat untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Pada tahun ini, UDA akan melancarkan dua projek hartanah baharu di wilayah selatan iaitu Pisonia Ville dan Areca Terrace.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr. Mohd. Salem Kailay pula berkata, perniagaan hartanah UDA di negeri Johor sentiasa menitikberatkan keperluan pelanggan dan UDA yakin permintaan rumah teres 2 tingkat menjadi tumpuan.

“Pada pertengahan tahun ini, UDA bakal menawarkan 225 unit kediaman teres 2 tingkat menerusi pelancaran Pisonia Ville Pakej 2 (53 unit) dan Areca Terrace (172 unit).

“Pisonia Ville Pakej 2 dan Areca Terrace bakal dibangunkan di Bandar UDA Utama berstatus pegangan kekal. Perbandaran berkeluasan 470 ekar itu terletak di lokasi strategik bersebelahan Tol Perling dan dikelilingi taman perumahan yang matang.

“Selain itu, ia turut berdekatan dengan pelbagai kemudahan serta akses mudah ke pusat beli-belah, pasar raya, bank dan sekolah, katanya dalam kenyataan.

Menurut UDA, perniagaan di Angsana Johor Bahru Mall terus utuh melihat pada kadar penghunian yang melebihi 90 peratus pada tahun lalu.

Jelasnya, UDA optimis dalam memastikan kompleks tersebut terus menerima aliran pengunjung yang tinggi, popular serta terus unggul sebagai destinasi beli-belah utama di selatan tanah air khususnya di Johor Bahru.

“UDA turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun menerusi Program Insentif Usahawan UDA bertujuan menggalakkan usahawan baru untuk berniaga di kompleks beli-belah milik UDA. Selain itu, ia turut membantu kelangsungan perniagaan pada waktu pandemik dan telah memanfaatkan usahawan di Angsana Johor Bahru Mall,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN