PETALING JAYA: Twitter mengumumkan pelantikan Mitchell Kreuch sebagai Pengarah Urusan Asia Tenggara Twitter, baharu.
Berkhidmat bawah Naib Presiden Asia Pasifik, Twitter, Yu Sasamoto, Mitchell bertanggungjawab untuk meneruskan dan mempercepatkan pertumbuhan Twitter di Asia Tenggara.
Menurut Twitter, sebelum ini, Kreuch telah mengetuai Perkembangan Agensi Twitter di Asia Pasifik selama dua tahun dan memainkan peranan penting dalam pendekatan agensi yang berjaya serantau.
Mengulas pelantikan tersebut, Sasamoto berkata, pihaknya teruja dengan pelantikan Kreuch kerana beliau akan menerajui dan mempercepatkan pertumbuhan pendapatan Twitter di seluruh Asia Tenggara.
“Dengan pengalaman luas beliau dalam industri jualan, media dan pemasaran sepanjang tiga dekad, saya yakin beliau akan menjadi peneraju yang kukuh untuk pasukan jualan Asia Tenggara kami, mengukuhkan hubungan pelanggan dan rakan kongsi kami, dan meningkatkan komitmen kami kepada Asia Tenggara sebagai sebuah rantau pertumbuhan tinggi untuk Twitter,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Kreuch berkata, pertumbuhan berterusan di Asia Tenggara adalah keutamaan tertinggi.
Katanya, setelah menerajui Perkembangan Agensi di rantau APAC selama dua tahun yang lalu, beliau sangat teruja untuk mengembangkan peranan menerajui pasukan pertumbuhan pendapatan di Asia Tenggara.
“Bersama kepimpinan Sasamoto dan kerjasama pasukan kami serantau, saya berharap kami dapat membuka lebih banyak peluang dan terus mempamerkan nilai-nilai Twitter untuk membantu para jenama kekal berhubung dengan pengguna kami di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN










