Tempoh menunggu 6 bulan? - Utusan Malaysia

Tempoh menunggu 6 bulan?

Proton X50 muncul SUV paling laris di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan ekonomi yang lebih luas dan janji kerajaan tidak akan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini dijangka melonjakkan permintaan dalam sektor automotif, sekali gus menjanjikan pertumbuhan positif jumlah keseluruhan industri (TIV) bermula dari suku pertama 2022.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sektor automotif tempatan, khasnya Proton dan Perodua juga harus proaktif dalam memastikan permintaan ini dapat dipenuhi, agar tidak meresahkan atau menyulitkan pembeli.

Jelasnya, ini kerana terdapat khabar angin yang beberapa model Proton dan Perodua memerlukan tempoh menunggu yang agak lama, iaitu sehingga enam bulan.

“Beberapa pengeluar sudah pun melakukan pengumuman awal mengenai pelancaran model-model baharu yang bukan sahaja menarik, harga kompetetif malah enjin berkapasiti rendah tetapi kuasa kuda yang baik. Spesifikasi ditambah baik ini juga dijangka merangsang permintaan.

“Melihat kepada keseluruhan pola perubahan kepada permintaan dan penawaran, dijangkakan tahun ini bakal menjadi tahun kebangkitan kembali, dengan TIV yang memuaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 645,000 menjelang 2023, 7.5 peratus lebih tinggi berbanding sasarannya untuk tahun ini iaitu 600,000.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya telah mengambil kira faktor ekonomi dan persekitaran dalam ramalan untuk TIV tersebut.

Tahun lalu, sebanyak 508,911 kenderaan telah dijual di Malaysia dan jumlah itu mengatasi unjuran semakan MAA sebanyak 500,000 unit yang dimumkan pada Julai tahun lalu. Unjuran TIV yang diumumkan pada awal 2021 ialah 570,000 unit.

Sementara itu, Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai memaklumkan, permintaan terhadap pembelian kenderaan tahun ini juga dijangka meningkat berikutan para pengguna yang terjejas akibat banjir baru-baru ini akan mula membeli kenderaan baharu.

Ujarnya, sektor automotif negara akan kembali rancak tahun ini, dipacu peningkatan sentimen pembeli dan pengenalan pelbagai jenis kereta baharu termasuk kenderaan elektrik (EV).

“Tahun ini ekonomi dalam proses meluncur naik sekali gus keyakinan dan sentimen pasaran untuk sektor automotif yang tinggii menyebabkan lonjakan minat pembelian kereta baharu.

“Disebabkan banyak kenderaan yang rosak disebabkan banjir juga akan menyebabkan berlakunya limpahan permintaan ke atas pembelian kereta oleh mereka yang terjejas,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN