PETALING JAYA: Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan, Swipey Digital Services Sdn. Bhd. ( Swipey ), sedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menumpukan perhatian kepada usaha membina perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Swipey, Kalyana Mohan Teagarajan berkata, Swipey dapat membantu mengatasi masalah yang sering dialami oleh perusahaan secara berkesan menerusi pendigitalan operasi kewangan bahagian belakang dan mengoptimumkan kos operasi PKS.
Kata beliau, pada skala yang lebih luas, syarikat mahu membina perkhidmatan perbankan digital yang berteraskan pelanggan untuk PKS moden yang kurang mendapat perhatian di Asia Tenggara.
“Sebagai pemilik PKS, kami juga sudah biasa mengalami tekanan dalam menguruskan perbelanjaan, dan pernah mengalami masalah yang sedemikian sendiri.
“Masalah ini bukannya tidak boleh diatasi dan ada penyelesaiannya. Kami hanya perlu menawarkan penyelesaian ini dalam bentuk yang paling mudah diakses oleh pemilik PKS yang memerlukannya,” katanya dalam kenyataan.
Kajian yang dijalankan oleh Swipey mendapati, sebanyak 94 peratus PKS lebih suka mempunyai kad pembayaran syarikat yang khusus bagi menguruskan perbelanjaan perniagaan dengan pengasingan, tadbir urus dan kawalan.
Walau bagaimanapun, hanya 8 peratus daripada mereka mempunyai akses kepada kad korporat yang dikeluarkan oleh institusi kewangan tradisional, jelasnya.
“Swipey merapatkan jurang dengan memberikan kad korporat generasi baru dan menawarkan pemantauan dan pengurusan perbelanjaan secara berpusat dan telus.
“Ini hanyalah salah satu daripada contoh matlamat kami yang lebih luas bagi membantu PKS mengatasi masalah pengurusan kewangan syarikat melalui platform digital kami, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkara-perkara yang lebih penting seperti mengembangkan lagi perniagaan mereka,” tambah Kalyana.
Kalyana mengasaskan Swipey pada Februari 2021 bersama Rouvin Thiruchelvam, yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan Swipey.
Syarikat pemula teknologi kewangan itu merancang untuk menawarkan kad korporat dan menyediakan penyelesaian pengurusan perbelanjaan, dengan penawaran teknologi kewangan yang lebih canggih dan menyeluruh.
Sasaran utama Swipey ialah menjadi penyedia teknologi kewangan terkemuka untuk PKS moden di Asia, dengan penyelesaian pembayaran dan pengesanan digital semua dalam satu. – UTUSAN










