Takaful Ikhlas, Tan Chong Motor jalin kerjasama strategik - Utusan Malaysia

Takaful Ikhlas, Tan Chong Motor jalin kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad telah menjalin kerjasama strategik dengan Tan Chong Motor Holdings Berhad (Tan Chong Motor) berkuat kuasa 5 Januari lalu.

Menerusi kerjasama itu, Takaful Ikhlas akan menyediakan produk dan perkhidmatan motor takaful kepada pelanggan Tan Chong Motors iaitu Nissan, Renault, Infiniti dan JMC.

Produk dan perkhidmatan motor takaful am Takaful Ikhlas akan diedarkan melalui francais dan pengedaran Edaran Tan Chong Motor di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, pihaknya percaya kerjasama itu akan memberi peluang untuk meluaskan jangkauan syarikat dalam industri permotoran.

“Menerusi kerjasama ini, kami akan menyediakan pelanggan Tan Chong Motor dengan perlindungan motor takaful yang komprehensif dengan cadangan nilai tambah.

“Selain menjamin kenderaan dengan pelbagai manfaat termasuk produk motor takaful yang merangkumi elaun bantuan banjir, elaun penggantian kereta dan pembayaran tunai tambahan sekiranya berlaku kerugian atau kecurian, pelanggan Tan Chong Motors juga akan mendapat manfaat daripada proses tuntutan yang mudah dan cepat,” katanya dalam kenyataan.

Pelanggan juga boleh menikmati kelebihan Ikhlas Waqf and Endowment (IWE) di mana RM1,000 akan diwakafkan di bawah nama peserta institusi wakaf yang diiktiraf oleh syarikat sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan.

Sementara itu, Ketua Aliran Perniagaan Insurans Tan Chong Motor, Joshua Yong berkata, pihaknya yakin, sebagai penyedia takaful yang berdaya saing, Takaful Ikhlas akan dapat menawarkan produk dan perkhidmatan yang bernilai kepada segmen pelanggannya yang semakin ramai mencari produk motor insurans patuh syariah.

“Kami mempunyai objektif yang sama di bawah kerjasama ini iaitu untuk memastikan kepuasan pelanggan dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

“Takaful Ikhlas juga akan dipaparkan dalam platform digital kami di www.goinsuran.com di bawah jenama GoInsuran.

“Platform itu beroperasi sebagai platform elektronik masa nyata untuk memproses permohonan dalam talian yang dikemukakan oleh pelanggan untuk kenderaan bermotor yang membeli perlindungan takaful dan ia menyediakan penghantaran cukai jalan percuma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN