SWM Environment sumbang barangan elektrik RM750,000 kepada mangsa banjir - Utusan Malaysia

SWM Environment sumbang barangan elektrik RM750,000 kepada mangsa banjir

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlizam Mohd. Nordin (kanan), mewakili pihak pengurusan SWM Environment menyerahkan sumbangan barangan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dalam satu majlis di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat ‘SWM Kasih’ telah memperuntukkan sumbangan berupa barangan elektrik bernilai RM750,000 kepada hampir 3,000 keluarga yang terkesan akibat bencana banjir di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif, SWM Environment, Ho De Leong berkata, sumbangan itu adalah kesinambungan inisiatif syarikat dalam membantu mangsa-mangsa bencana banjir bagi meringankan beban mereka, seterusnya membantu mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir.

Kata beliau, SWM Environment selaku syarikat konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi negeri-negeri di wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban dan kesusahan rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana alam besar seperti itu.

“Justeru, sebanyak 2,500 barangan keperluan elektrik asas seperti peti ais, periuk nasi serbaguna, kipas meja dan dapur gas dua tungku akan disalurkan kepada semua keluarga mangsa banjir di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Syarikat turut menyumbangkan sebanyak 640 buah water jet kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memudahkan mereka untuk membantu orang ramai sekiranya berlaku bencana banjir pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, syarikat juga telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Negeri dan kerajaan negeri bagi membantu mengenal pasti keluarga yang terkesan teruk akibat banjir dan seterusnya melancarkan proses pengagihan barangan elektrik tersebut.

Katanya, pengagihan barangan elektrik di negeri Melaka telah dimulakan kelmarin melibatkan 800 buah keluarga yang layak dari tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Manakala, pengagihan bagi Negeri Sembilan akan dilakukan secara berperingkat melibatkan seramai 1,200 keluarga yang layak dari lapan daerah iaitu Seremban, Nilai, Kuala Pilah, Jelebu, Jempol,
Rembau, Tampin dan Port Dickson.

“Dalam masa yang sama, SWM Environment telah memperuntukkan sejumlah 1,000 unit barangan elektrik kepada keluarga mangsa banjir di negeri Johor dan proses pengagihan barangan tersebut akan dilakukan secara berperingkat agar semua mangsa banjir akan mendapat bantuan sewajarnya,” jelas beliau.

De Leong memberitahu, SWM Environment telah menggerakkan lebih 390 anggota dan 181 jentera bagi keseluruhan operasi untuk melakukan operasi pembersihan di sekitar kawasan kediaman mangsa-mangsa banjir serta kutipan sisa banjir untuk dibawa ke tapak pelupusan bermula dari 19 Disember 2021 sehingga pertengahan bulan ini.

“SWM Environment akan terus memberi kerjasama kepada pihak berwajib dalam membantu mangsa-mangsa banjir agar dapat memenuhi keperluan harian mereka dan seterusnya membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti sediakala dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN