JAKARTA: Indonesia telah menjalankan ujian awal untuk menghasilkan petrol diperbuat daripada minyak sawit bagi mengembangkan penggunaan minyak sayuran dalam sektor tenaganya, menurut Kementerian Tenaga Indonesia.
Bagi mengembangkan lebih banyak keluaran minyak sawit dan mengurangkan import bahan api, negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia pada 2020 itu melancarkan biodiesel B30 mandatori, iaitu 30 peratus kandungan minyak sawit, menjadi satu daripada kepekatan minyak sawit tertinggi yang digunakan dalam biofuel di seluruh dunia.
Indonesia menyasarkan untuk meningkatkan kandungan minyak sawit dalam biodiesel dan menggunakannya untuk menghasilkan bahan api lain.
Negara itu menjalankan ujian penerbangan menggunakan bahan api jet yang dicampur dengan minyak sawit tahun lepas dan merancang melakukan ujian jalan raya untuk biodiesel yang mengandungi 40 peratus minyak sawit bulan depan.
“Kita mesti berusaha untuk berdikari dalam bidang yang penting untuk negara kita, seperti sektor tenaga. Kita mempunyai pelbagai sumber tenaga yang belum digunakan sepenuhnya,” kata Menteri Tenaga, Arifin Tasrif dalam satu kenyataan.
Persatuan Minyak Sawit Indonesia menganggarkan biodiesel membentuk kira-kira 38 peratus daripada penggunaan minyak sawit domestik Indonesia tahun lalu.
Arifin turut menggesa Institut Teknologi Bandung, yang menerajui pembangunan bahan api untuk meningkat dan mempercepatkan ujian, supaya hasilnya boleh menjadi parameter dalam kajian kemungkinan dan reka bentuk kejuruteraan untuk kemudahan pengeluaran yang dirancang di Sumatera. –AGENSI










