Rhone Ma rasmi kilang baharu di Nilai - Utusan Malaysia

Rhone Ma rasmi kilang baharu di Nilai

AMINUDDIN Harun menandatangani plak perasmian kilang baharu Rhone Ma di Nilai, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rhone Ma Holdings Berhad (Rhone Ma) merasmikan kilang baharunya bertempat di Taman Perusahaan Nilai Utama, Nilai, Negeri Sembilan.

Kilang itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disaksikan oleh Pengerusi Majlis Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ir. Bakri Sawir; Pengerusi Rhone Ma, Datuk Hamzah Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan, Dr. Lim Ban Keong.

Menurut Rhone Ma, kilang itu adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan Kumpulan untuk penyediaan penyelesaian kesihatan haiwan secara khusus dalam usahanya meningkatkan pengeluaran
kapasiti produk kesihatan haiwan jenama sendiri khususnya farmaseutikal dan bahan tambahan makanan.

Jelasnya, selaras dengan usahanya untuk memastikan produk yang dikeluarkan di kilang baharu itu adalah selamat, berkhasiat dan berkualiti, Kumpulan telah memohon pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan yang dijangka diluluskan pada suku kedua 2022.

“Kilang baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran Kumpulan dengan lebih kurang empat kali ganda kapasiti pengeluaran maksimum sedia ada atau kira-kira 2,500 tan metrik setahun,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa ini, kilang baharu yang mula beroperasi April 2021, sedang beroperasi dengan kapasiti lebih daripada 35 peratus.

Kumpulan menjangkakan bahawa kilang itu akan mencapai kapasiti maksimum menjelang 2023.

Ban Keong berkata, lokasi kilang sangat strategik dan mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS) yang sesuai untuk pengedaran produk kepada pelanggan syarikat yang majoritinya terletak di kawasan tengah Semenanjung Malaysia.

“Selain pasaran domestik, produk kesihatan haiwan jenama kami juga dieksport ke Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei dan Myanmar. Penerimaan produk jenama sendiri di luar negara menunjukkan bahawa jenama Malaysia
mempunyai kualiti luar biasa dan boleh setanding dengan jenama global yang lain,” katanya.

Thailand ialah pasaran eksport terbesar Kumpulan, menyumbang kira-kira 48 peratus kepada hasil pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN