Reliance ambil alih Mandarin Oriental New York - Utusan Malaysia

Reliance ambil alih Mandarin Oriental New York

MANDARIN Oriental New York merupakan hotel mewah kedua dimiliki Reliance selepas Stoke Park di London, April tahun lalu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Konglomerat India, Reliance Industries Ltd. berbelanja hampir AS$100 juta (RM420.05 juta) untuk mendapatkan pegangan kawalan ke atas hotel lima bintang di tengah bandar Manhattan, Mandarin Oriental New York melalui pembelian syarikat induknya yang berpangkalan di Kepulauan Cayman.

Dalam maklumannya kepada bursa Sabtu lalu, Reliance berkata, anak syarikat pelaburan perindustriannya akan mengambil alih Coumbus Centre Corp. (Cayman) dengan nilai ekuiti pada kira-kira AS$98.15 juta (RM412.28 juta).

Katanya, pengambilalihan Columbus Centre oleh Reliance Industrial Investments and Holdings Ltd. akan me­ningkatkan aktiviti kepenggunaan dan hospitalitinya.

Columbus Centre me­rupakan pemilik tidak langsung kepada 73.37 peratus pegangan dalam Mandarin Oriental New York.

Menurut Reliance, penutupan transaksi itu dijangka pada penghujung Mac ini.

Tambahnya, sekiranya pemilik lain hotel tersebut memilih untuk terlibat dalam transaksi itu, anak syarikatnya akan mengambil alih baki 26.63 peratus pegangan berdasarkan penilaian yang sama untuk pengambilalihan 73.37 peratus pegangan tidak langsung itu.

Reliance merupakan antara konglomerat terbesar India dan tersenarai sebagai syarikat Fortune 500 dengan rangkaian perniagaan meliputi sektor tenaga, petrokimia, tekstil, peruncitan, hiburan, bahan dan telekomunikasi.

Dengan lokasi strategik berhampiran Central Park dan Columbus Circle, Mandarin Oriental New York merupakan hotel mewah ikonik yang terkenal di tengah bandar Manhattan dan mula beroperasi sejak 2003.

Hotel mewah tersebut mempunyai pendapatan AS$115 juta (RM483.06 juta) pada 2018, AS$113 juta (RM474.66 juta) pada 2019 dan AS$15 juta (RM63.01 juta) pada 2020.

Ini merupakan pengambilalihan hotel terkemuka kedua oleh Reliance, selepas memiliki kawalan ke atas Stoke Park di London pada April tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN