PUTRAJAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meramalkan industri komoditi itu mempunyai prospek masa depan cerah sepanjang tahun ini di sebalik ketidaktentuan global.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia susulan jangkaan peningkatan pengeluaran produk minyak sawit berikutan pelbagai faktor yang positif tahun ini.
“Kami jangka walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) mungkin berlegar sekitar RM3,000 pertan, ia dianggap stabil malah beri banyak kelebihan dari segi kompetitif,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucap tama Seminar Semakan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 dianjurkan bersama oleh MPOB di Hotel Marriott, di sini hari ini.
Acara tahunan yang julung kali diadakan bersemuka itu dikelolakan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta dirasmikan Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Sepanjang tahun lalu, harga purata CPO mencatatkan sejarah apabila merekodkan RM4,407 pertan iaitu peningkatan 64.1 peratus berbanding tahun sebelumnya hanya RM2,685 pertan.
Malahan, ia pernah mencecah paras tertinggi iaitu RM5,429 pertan pada 19 November 2021 manakala purata harga sepanjang bulan itu juga amat tinggi dengan catatan RM5,341 pertan.
Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, antara faktor yang bakal mempengaruhi kestabilan harga CPO tahun in ialah peningkatan pengeluaran produk minyak sawit domestik dan global.
“Kita juga menjangkakan akan berlaku kemerosotan harga minyak sayur utama ekoran proses pemulihan stok dan produksi di kebanyakan negara pengeluar terbesar di dunia, jelasnya.
Justeru ujar beliau, dengan mengambil kira pengalaman Malaysia telah mengharungi dua tahun cabaran pandemik Covid-19, industri minyak sawit tempatan bakal mencatat lantunan tinggi.
MPOB dan pelbagai agensi berkaitan, jelasnya, turut bersedia mendepani segala isu yang timbul terutama serangan propaganda antiminyak sawit menerusi kempen tersusun lebih agresif.
Menyentuh isu kekurangan buruh yang mengakibatkan lebih RM1 bilion nilai buah sawit gagal dituai tahun lepas, pihaknya turut menubuhkan pelan tindakan segera jangka masa panjang.
Ini termasuk pewujudan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Minyak Sawit (MARCOP) yang dianggotai oleh pelbagai pemegang taruh berkepentingan dan pakar akademik.
“Ia sudah memiliki dana terkumpul RM30 juta yang dikutip berdasarkan RM2 pertan CPO oleh pihak industri selain kerajaan juga beri geran sepadan lagi sebanyak RM30 juta,” katanya. – UTUSAN










