PKS belum bersedia hadapi cabaran RCEP - Utusan Malaysia

PKS belum bersedia hadapi cabaran RCEP

PKS antara sektor yang masih memerlukan sokongan kerajaan untuk menghadapi cabaran ekonomi pasca pandemik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia belum bersedia untuk mengatasi cabaran yang akan muncul setelah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dilaksanakan sepenuhnya.

Setiausaha Agung Nasional Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata, itu kerana tiada kelebihan yang jelas daripada perjanjian itu untuk PKS dan tiada maklumat jelas daripada pihak kerajaan berkaitan perkara itu.

“Antara cabaran yang bakal dihadapi PKS ialah liberalisasi perdagangan. Ia bermakna PKS perlu bersaing dengan syarikat-syarikat multinasional di negara yang berkos rendah.

“Persoalannya, dalam segmen elektrikal dan elektronik (E&E), mampukah kita bersaing dengan Korea Selatan, Jepun dan China? Adakah struktur kos kami lebih baik daripada pengeluaran E&E di Vietnam, Thailand dan Filipina?

“PKS akan menghadapi persaingan yang lebih sengit daripada negara seperti Vietnam dan China memandangkan struktur kosnya jauh lebih rendah berbanding Malaysia berikutan tenaga buruh yang lebih murah, kos utiliti dan sewaan yang lebih rendah dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) harus menyediakan analisis faedah kos yang menggariskan beberapa kelebihan dan kekuatan perjanjian tersebut terhadap ekonomi Malaysia termasuk membuat kajian kepentingan nasional.

“Industri apakah dalam Malaysia yang boleh bersaing dan industri mana yang perlu dilindungi perlu dikaji.

“Perkara yang paling penting ialah menjelaskan kepada PKS di mana sebenarnya kedudukan mereka dalam rantaian bekalan,” katanya.

Oleh itu, tambahnya, tindakan yang lebih pantas perlu dilakukan bagi membetulkan semula perjanjian RCEP yang telah diratifikasikan itu.

Chee Seong berkata, langkah yang cepat juga perlu dilakukan untuk meminimumkan halangan bukan tarif bagi memudahkan perdagangan terutamanya melalui platform e-dagang.

Beliau menekankan, kerajaan juga perlu memudahkan peraturan asal dan meningkatkan ketelusan dalam keperluan pelabelan, ujian, pelesenan dan pendaftaran.

“Memandangkan tiada jaminan pada halangan bukan tarif dan akses pasaran, kerajaan perlu sentiasa berhubung dengan negara-negara anggota RCEP untuk memastikan perdagangan yang adil,” katanya.

MITI sebelum ini memaklumkan bahawa, Malaysia telah menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.

Jelasnya, penyerahan IOR itu dibuat menerusi mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari untuk Malaysia meratifikasi perjanjian tersebut yang akan mula dikuatkuasakan pada 18 Mac ini.

“Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyertai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan,” jelas MITI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN