PKNS sasar 12 projek baharu bernilai RM690j tahun ini - Utusan Malaysia

PKNS sasar 12 projek baharu bernilai RM690j tahun ini

MAHMUD Abbas memberikan penerangan mengenai PKNS Outlook 2022 di Ibu pejabat PKNS di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan 12 projek baharu dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM690 juta pada tahun ini.

Kesemua projek yang dijangka siap antara dua hingga tiga tahun lagi itu adalah empat di Kota Puteri, Bernam Jaya (3), Shah Alam (2) dan masing-masing satu di Antara Gapi, Bangi dan Selangor Cyber Valley melibatkan harga jualan antara RM400,000 sehingga RM550,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, dengan saiz simpanan tanah sebanyak 5,972.04 ekar, ia dilihat sebagai peluang untuk pertumbuhan dengan gabungan pembangunan yang dipadankan dengan permintaan pasaran baharu.

Menurutnya, komposisi ta­nah PKNS mewakili 44 peratus bagi pembangunan komersial, kediaman (13 peratus) dan campuran (43 peratus) dengan kawasan terbesar ialah di Klang, Bernam Jaya dan Hulu Langat.

“PKNS telah menetapkan sasaran untuk mencapai jualan sektor perumahan kira-kira RM584 juta bagi 2022 menerusi strategi jualan pemberian diskaun bagi projek baharu untuk pembeli bumiputera dan bukan bumiputera.

“Memanfaatkan kekuatan portfolio hartanah terdiri daripada lebih 160,000 rumah yang dibina di seluas 64,500 ekar dan pembangunan perindustrian seluas 11,885 ekar, PKNS yakin dalam mencapai sasaran nilai yang lebih besar untuk negeri, masyarakat dan pihak berkepentingan,” katanya dalam sidang akhbar PKNS Outlook 2022 di Ibu pejabat PKNS, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Suhaimi Kasdon dan Ketua Pegawai Teknikal, Md. Kamarzan Md. Rais.

Mengulas lanjut, Mahmud yang berkongsi strategi pemasaran memberitahu, PKNS turut melakukan perubahan besar dengan menambah jumlah galeri jualan sedia ada dan membuka lima galeri jualan baharu termasuk satu di ibu pejabat PKNS serta di tapak projek.

“Memandangkan pandemik Covid-19, banyak produk jualan yang tidak dapat dijual dan menerusi strategi pemasaran kami, kami akan membina lebih daripada lima buah galeri jualan pada tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN