Petronas, Japan Petroleum bekerjasama dalam bidang CCS - Utusan Malaysia

Petronas, Japan Petroleum bekerjasama dalam bidang CCS

MAJLIS menandatangani kerjasama antara Petronas dan Japan Petroleum dalam bidang CCS dan penyimpanan karbon dioksida.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Japan Petroleum Exploration Co., Limited (JAPEX) untuk bekerjasama dalam peluang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), termasuk penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) yang sesuai di Malaysia.

Petronas dalam kenyataan memberitahu, di bawah MoU itu, Petronas dan JAPEX akan melaksanakan aktiviti pematangan teknikal untuk potensi penyelesaian CCS.

“Ia termasuk menilai kaedah tangkapan, penyimpanan dan pengangkutan yang optimum, serta anggaran pelepasan, volum dan kaedah pemantauan CO2 yang disimpan di bawah tanah.

“Kajian bersama itu merangkumi pertimbangan kaedah untuk mengangkut CO2 dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu dan dari luar Malaysia,” jelasnya.

Menandatangani MoU bagi pihak Petronas ialah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Adif Zulkifli, manakala JAPEX diwakili Wakil Pengarah dan Naib Presiden Eksekutifnya, Kazuhiko Ozeki.

Majlis itu disaksikan oleh wakil Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Takeshi Soda dan Ketua Unit Perusahaan CCS, Huluan Petronas, Nora’in Md. Salleh.

Adif berkata, Petronas mengharapkan kerjasama dengan JAPEX meletakkan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini.

“Kerjasama ini membolehkan Petronas memanfaatkan pengalaman JAPEX dalam Projek Demonstrasi CCS Tomakomai, projek CCS rantaian penuh pertama Jepun, yang dikendalikan oleh Japan CCS Co., Ltd. Kami yakin ia akan membawa sumbangan berharga dalam Kajian Kematangan Teknikal untuk membuka potensi CCS dalam negara,” katanya.

CCS ialah gabungan teknologi sedia ada yang menyimpan CO2 jauh di bawah tanah, agar ia tidak dipancarkan ke atmosfera.

CO2 diasingkan daripada gas yang dihasilkan oleh proses perindustrian seperti pengeluaran keluli dan simen atau daripada pembakaran bahan api fosil, diangkut ke lokasi di mana ia boleh disimpan dalam repositori geologi jauh di bawah ta­nah, seterusnya mengurangkan pelepasan ke atmosfera.

Ia adalah sebahagian daripada langkah Petronas dalam membina portfolio yang berdaya tahan dan mampan yang menyokong peralihan ke arah masa depan lebih rendah karbon, melalui usaha kerjasama dengan rakan kongsi industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN