KUALA LUMPUR: Perodua menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6 peratus tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000 berbanding 37.4 peratus pada 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ramalan 610,000 TIV adalah unjuran dalaman Perodua kerana syarikat tersebut percaya pasaran mampu melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.
Beliau berkata, Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak akan berlaku lagi.
“Tahun ini, kami menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan pada 2021.
“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5 peratus iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021.
“Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana permintaan terhadap kenderaan masih kukuh,” kata beliau dalam sidang akhbar Perodua 2022 Outlook di Hotel InterContinental di sini, semalam.

Zainal berkata, untuk tahun ini, permintaan adalah kukuh bagi semua model Perodua dengan Myvi mendahului sebanyak 47,525 unit, diikuti Axia (43,080), Bezza (42,698), Ativa (26,847), Aruz (15,313) dan Alza (14,828).
Katanya, sejak dilancarkan pada 18 November 2021, Perodua telah menghantar 7,055 Myvi Baharu dengan tempahan mencecah 31,154 unit sejak 9 November 2021.
Beliau menambah, inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan masih menjadi insentif yang terbaik buat pengguna untuk membeli kereta baharu mereka.
“Jumlah tempahan kami untuk kenderaan baharu masih sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ini bermakna kami dapat memenuhi tempahan yang tertunggak tepat pada masanya,” katanya. – UTUSAN










