PETALING JAYA: CIMB Bank memberitahu, pihaknya telah pun mengambil langkah proaktif seperti peruntukan berhemat untuk melindungi kualiti asetnya.
“Perniagaan kami kekal berdaya tahan dan modal kekal kukuh. Kami berada di landasan untuk mencapai sasaran kewangan utama 2021 kami termasuk panduan kos kredit kami kepada pasaran,” katanya dalam reaksi ringkas kepada Utusan Malaysia, semalam.
CIMB Bank memberikan kenyataan itu ketika diminta mengulas laporan yang turut tular di media sosial mengenai dakwaan pinjaman tanpa cagaran sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) oleh tiga bank tempatan iaitu Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank kepada Genting Hong Kong (HK) yang gulung tikar sehingga mendorong peletakan jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Ekskeutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.
Menurut berita berkenaan, Permodanan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merupakan antara pemilik saham terbesar dalam tiga bank terbabit.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, penggulungan Genting HK akan memberi impak negatif kepada tiga bank terbabit, namun impaknya tidak ketara kerana ada kemungkinan bank-bank tersebut masih lagi boleh mendapatkan sebahagian daripada wang yang terhutang melalui penjualan aset syarikat yang muflis itu.
“Saya tidak pasti jika bank-bank tersebut mengambil insurans untuk melindungi pinjaman tersebut, namun saya berpendapat impak kepada prestasi kewangan mereka agak minima.
“Sebagai contoh, jumlah untung sebelum cukai bagi ketiga-tiga bank ini pada 2021 adalah RM12.8 billion dan disebabkan itu saya melihat ketiga-tiga bank ini masih lagi mampu menangani krisis yang dialami oleh Genting HK.
“Bank-bank tersebut semestinya sudah melakukan due diligence ke atas risiko pinjaman tersebut dan pandemik Covid-19 merupakan peristiwa Black Swan yang tidak dijangka,” katanya.
Ahmed Razman berkata, walaupun ia boleh memberi impak negatif, secara amnya, bank-bank di Malaysia mempunyai tahap kecairan dan modal yang kukuh sejak krisis kewangan Asia pada 1997.
“Dan ini terbukti apabila sembilan bank komersial tempatan sentiasa mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM35 billion setiap tahun dan masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM26 billion semasa pandemik (2020)
“Semua pelaburan ada risikonya dan saya pasti bank telah melaksanakan penilaian ke atas pelaburan2 tersebut sebelum meluluskan pembiayaan kewangan. Risiko tetap ada terutamanya dalam suasana global yang tidak stabil, tidak pasti, kompleks dan tidak tentu,” katanya.
Ditanya kesan kepada dividen KWSP, beliau berpendapat, impak agak minimum kerana KWSP mempunyai aset dengan nilai pasaran RM1 trilion dan pelaburan luar negara sekitar 33 peratus.
“Oleh itu dividen daripada tiga bank ini hanya sebahagian kecil sahaja daripada pendapatan KWSP,” katanya. – UTUSAN










