NEV: Proton, Smart Automobile jalin kerjasama - Utusan Malaysia

NEV: Proton, Smart Automobile jalin kerjasama

KENDERAAN tenaga baharu, smart bakal memasuki pasaran Malaysia dan ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan smart Automobile Company (smart) bagi memperkenalkan kenderaan tenaga baharu (NEV) keluaran smart dalam pasaran automotif Asean yang semakin berkembang.

Perjanjian ini melihat kedua-dua pihak bekerjasama melalui Proton Edar yang dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk smart di Malaysia dan Thailand manakala smart Automobile (Nanning) Sales Co. Ltd. akan memainkan peranan sebagai pintu masuk untuk smart ke rantau ini.

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian itu diadakan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah dan Naib Presiden Kewangan smart Automobile, Ulf Nestler mewakili syarikat masing-masing.

MAJLIS menandatangani memorandum perjanjian secara maya antara Smart Automobile Company (kiri) dan Proton Edar bagi memperkenalkan kenderaan tenaga baharu.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, menerusi perjanjian itu, Proton akan mengambil langkah pertama dalam pelaksanaan strategi NEV.

“Perjanjian dengan smart ini membolehkan kami menimba pengalaman dalam penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV serta membina kemahiran yang diperlukan untuk menguasai sektor yang sedang berkembang pesat.

“Ini juga merupakan peluang untuk bermanfaat daripada pangkalan pelanggan smart dan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Proton,” katanya dalam kenyataan.

Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) meramalkan bahawa lebih kurang 10 juta unit Kenderaan Tenaga Baharu akan digunakan di Asia Tenggara menjelang 2025.

Dengan portfolio produk NEV baharu yang akan dilancarkan bagi tahun mendatang, smart akan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan ini.

MODEL smart yang dikatakan bakal memasuki pasaran Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif smart Automobiles, Tong Xiangbei memberitahu, dengan strategi perniagaan ‘dual-home’ (Eropah and China), syarikat telah meliputi dua pasaran automotif utama di dunia dan akan berganding bahu dengan Proton bagi pasaran Asia Tenggara.

“Perjanjian ini akan membolehkan kami memasuki pasaran Malaysia dan Thailand lebih awal sebagai pasangan strategik serantau. Proton mempunyai reputasi korporat kelas pertama, pengalaman yang luas dan pengetahuan operasi tempatan yang amat berharga.

“Kami berharap kerjasama ini dapat memberi pengalaman baharu kenderaan elektrik yang premium dan pintar kepada pengguna di Asia Tenggara,” ujarnya.

Perjanjian dengan Proton Edar membolehkan smart membina rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia dan Thailand selain sebagai pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan smart di pasaran tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN