Dijangka tarikan utama pelaburan ke Kelantan
PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan permohonan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk Pakej Insentif Percukaian Khas bagi pelaburan di negeri Kelantan.
Menerusi insentif itu, para pelabur akan mendapat pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan pada kadar cukai 17 peratus untuk lima tahun selanjutnya.
Untuk pekerja berkompetensi tinggi (knowledge workers), individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi syarikat yang diluluskan insentif, hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus.
Menurut Majlis Pembangunan ECER, pada 2021, Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC telah berjaya merealisasikan pelaburan swasta berjumlah RM690 juta di Kelantan sewaktu pandemik.
“Pelaburan-pelaburan ini telah menjana lebih 500 peluang pekerjaan dan 300 peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, insentif Percukaian Khas yang baharu diluluskan dijangka akan menjadi daya tarikan utama kepada para pelabur.
“ECERDC menjangka akan menarik lebih banyak pelaburan baharu dengan adanya insentif khas ini,” katanya.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pula berkata, insentif itu merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan oleh ECERDC dan percaya ia merupakan hasil daripada usaha dan kerjasama erat berbagai pihak dalam menarik pelaburan ke Kelantan.
Beliau dalam pada itu menyarankan agar satu kajian terperinci dapat dilaksanakan untuk mengkaji impak projek landasan berkembar Chumphon-Ranong yang sedang dilaksanakan oleh pihak Thailand kepada negeri Kelantan.
Selain itu, Ahmad turut menyeru supaya pelaksanaan pembangunan LPT 3 serta lain-lain infrastruktur sokongan dipercepatkan dan diberi keutamaan bagi mengekalkan kelebihan saingan (competitive advantage) kepada Kelantan.
Antara projek dibangunkan oleh ECERDC di Kelantan ialah Projek Perintis-Transformasi Perikanan di Tok Bali dengan Fasa 1A telah siap dibina dan Fasa 1B kini dalam pembangunan dan dijangka siap pada November tahun ini.
Selain itu, Laman Warisan Seni Kampung Laut dijangka diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan (MOTAC) pada Jun ini.
ECERDC dan Kerajaan Negeri Kelantan turut bekerjasama membaik pulih Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 300 tahun dengan kerja-kerja dijangka selesai pada Jun 2022.
Di samping projek fizikal, ECERDC turut terlibat dalam projek pembangunan modal insan antaranya empower ECER, ACES-ECER Jobs Trains & Place bagi membantu lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi mendapat pekerjaan sewajarnya.
ECERDC adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk ECER. ECERDC memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudah cara pelaburan ke wilayah berkenaan.
ECER yang merangkumi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, merupakan sebuah wilayah yang sedang menjalani transformasi yang pesat dan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi yang distingtif, dinamik dan kompetitif untuk pelaburan. – UTUSAN










