Mimpi ngeri industri pelancongan - Utusan Malaysia

Mimpi ngeri industri pelancongan

KEDATANGAN semula pelancong memberi rezeki kepada pengusaha-pengusaha bot pelancongan di Pulau Langkawi yang sebelum ini terjejas teruk selepas penutupan sektor berkenaan akibat pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kemunculan varian baharu koronavirus, Omicron yang mula menyerang negara ini mengundang mimpi ngeri kepada pemain industri pelancongan di pulau peranginan terkenal ini.

Ini kerana, mereka bimbang gelombang Omicron yang ba­kal melanda negara boleh mera­napkan industri pelanco­ngan di pulau itu selepas mereka baru bangkit berikutan hampir lumpuh dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Pemain industri pelancongan tersebut termasuk 90 peratus penduduk di pulau ini iaitu kira-kira seramai 106,200 orang penduduk daripada 118,000 penduduk bergantung pendapatan sepenuhnya daripada sektor pelancongan bakal terjejas lebih teruk sekiranya PKP dilaksanakan lagi di negara ini khususnya di Langkawi berikutan penula­ran Omicron.

Pemain industri pelancongan dan penduduk di pulau itu yang baru dapat menarik nafas lega se­­lepas kerajaan me­lancarkan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang bermula pada 16 September 2021 lalu, tidak sanggup lagi berhadapan dengan risiko lebih teruk sekiranya pulau legenda tersebut ditutup semula kepada pelancong.

Walaupun jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi masih rendah pada tahun lalu berbanding 2020 dan 2019, namun penduduk tetap bersyukur dan gembira dengan kehadiran pelancong di pulau ini yang meningkat tinggi selepas pelancaran projek rintis gelembong pelancongan Langkawi itu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menunjukkan seramai 1.1 juta pelancong berkunjung ke pulau ini pada sepanjang 2021.

Jumlah kehadiran pelanco­ngan yang direkodkan pada 2020 ialah seramai 1.2 juta orang dan jumlah kehadiran pelancong yang tertinggi dicatatkan pada 2019 membabitkan se­ramai 3.96 juta pelancong.

Sementara itu, jumlah sasaran pelancong ke pulau itu pada tahun ini pula dianggarkan seramai dua juta orang.

Jumlah pendapatan yang diraih dalam industri pelanco­ngan di pulau itu pada 2019 adalah sebanyak RM1.7 bilion.

Bagaimanapun pulau peranginan itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1 bilion pada 2020 dan 2021 sekadar meraih pendapatan sekitar RM700 juta sahaja.

LANGKAWI kembali menggamit pelancong selepas pembukaan semula sempadan antara negeri. – GAMBAR HIASAN

Bagaimanapun angka sasaran itu tidak akan tercapai dan lebih merosot berbanding 2021 sekiranya pintu pelancongan di pulau ini sekali lagi ditutup kerana ancaman varian Omicron.

Pada 2 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak besar kemungkinan gelombang varian Omicron akan bermula di Malaysia seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Justeru, Menterinya, Khairy Jamaluddin menegaskan, beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperlahankan Penularan Varian Membimbangkan (VOC) yang pertama dikesan di Afrika Selatan itu.

Sebelum itu, beliau memberitahu, setakat ini terlalu awal untuk menjangkakan PKP dikenakan semula susulan kemunculan Omicron.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, pihaknya mengharapkan kerajaan tidak mengambil keputusan untuk menarik handbrake gelembung pelancongan Langkawi yang berjaya memeriahkan kembali pulau peranginan ini selepas sunyi akibat pendemik Covid-19.

“Industri pelancongan Langkawi akan lumpuh dan penduduk Langkawi akan hilang punca pendapatan sepenuhnya sekiranya pintu masuk ke pulau ini ditutup sekali lagi pada tahun ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan banyak syarikat dalam industri pelancongan di pulau ini akan gulung tikar sekiranya PKP dilaksanakan semula di negara ini,” katanya.

Selain itu, sejak perasmian projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu, Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan tiada pelancong yang memasuki pulau ini dijangkati virus Covid-19.

Perkembangan itu membuktikan kejayaan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di pulau ini sangat berkesan dan berjaya mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong domestik yang bercuti di pulau tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan perlu memperketatkan pelaksanaan SOP di negara ini terutamanya di Langkawi untuk mengelak penularan jangkitan varian Omicron. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN