PETALING JAYA: Pengasas bersama pengeluar kabinet dapur Signature International Bhd. (Signature International), Datuk Michael Chooi muncul pemegang saham utama syarikat hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd. (EcoFirst) dengan kepentingan 5.155 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan bahawa, Chooi mengambilalih 20 juta saham menerusi pasaran dalam tempoh 14 hari yang lalu.
Beliau selanjutnya membeli 40 juta saham lagi daripada transaksi luar pasaran menerusi Wawasan Fokus Sdn. Bhd.
Harga saham EcoFirst ditutup pada 56 sen hari ini dengan permodalan pasaran sebanyak RM659 juta.
EcoFirst ialah syarikat hartanah bersaiz sederhana dengan bank tanah utama di Lembah Klang, terutama di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai.
Syarikat kini dalam peringkat perancangan pembangunan untuk fasa seterusnya projek perdana Ampang Ukay.
“Pembangunan bercampur utamanya, Ampang Ukay ialah projek tujuh fasa di atas tanah seluas 87 ekar yang terletak di Ukay Heights yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4 bilion.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst telah menukar tumpuannya untuk menjual rumah mampu milik kepada M40 atau kumpulan kelas pertengahan Malaysia berikutan permintaan dalam segmen ini,” jelasnya.
Chooi dikenali sebagai pengasas bersama Signature Kitchen dengan rakan kongsinya Tan Kee Choong pada 1994, di mana mereka membekal dan memasang dapur tersedia dipasang dan sistem almari pakaian. Signature International kemudiannya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2008.
Mengulas kemunculan pemegang saham baharu dalam EcoFirst, Pengarah Alternatif, Datuk Kenneth Teoh Seng Kian berkata, syarikat amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Chooi sebagai pemegang saham strategik dalam EcoFirst.
“Dengan kepakaran dan rekod prestasinya yang terbukti dalam mengembangkan Signature International, kami menantikan prospek dan inovasi yang menarik di hadapan untuk EcoFirst,” katanya. – UTUSAN










