Maybank umum pelantikan Khairussaleh sebagai Presiden, CEO Kumpulan - Utusan Malaysia

Maybank umum pelantikan Khairussaleh sebagai Presiden, CEO Kumpulan

KHAIRUSSALEH RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank mengumumkan pelantikan Datuk Khairussaleh Ramli sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) itu.

Menurut Maybank, pelantikan tersebut telah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia.

Jelasnya, Khairussaleh akan menggantikan Datuk Seri Abdul Farid Alias ​​sebagai GPCEO, berkuat kuasa 1 Mei 2022.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, Lembaga Pengarah mengalu-alukan Khairussaleh dan menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau dalam fasa pertumbuhan Maybank yang seterusnya.

“Khairussaleh menyertai semula keluarga Maybank dan membawa bersama beliau pelbagai pengetahuan dan pengalaman hampir 30 tahun daripada industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.

“Kami yakin dengan pengalaman luasnya, beliau akan dapat menerajui Maybank dalam fasa pertumbuhan seterusnya, berteraskan bidang fokus M25 seperti pendigitalan, kemampanan dan pemacu nilai baharu,” katanya.

Zamzamzairani berkata, Lembaga Pengarah Maybank juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Farid, di mana tempoh tugasnya akan berakhir pada 30 April 2022, di atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen beliau yang luar biasa dalam membina sebuah organisasi berpandangan hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantau terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan.

Khairussaleh, 54, baru-baru ini merupakan Pengarah Urusan Kumpulan bagi Kumpulan Perbankan RHB, di mana beliau bertanggungjawab merangka hala tuju strategik Kumpulan dan memimpin organisasi tersebut mencapai matlamat dan objektif penciptaan nilai di bawah strategi lima tahun berakhir Tahun Kewangan 2022 (TK2022).

Sebelum menyertai Kumpulan Perbankan RHB, beliau bersama Maybank di antara November 2008 dan September 2013, dan telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebelum memegang jawatan sebagai Presiden Direktur dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank di Indonesia.

Semasa di Maybank Indonesia (ketika itu dikenali sebagai Bank Internasional Indonesia), beliau memperkenalkan program transformasi perniagaan yang akhirnya membawa kepada pemulihan perniagaan Bank tersebut,
menghasilkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 81 peratus untuk TK2012.

Beliau juga menerima pengiktirafan ‘CFO Terbaik di Malaysia’ daripada Finance Asia pada 2010 dan 2011 dan Alpha Southeast Asia pada 2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN