PETALING JAYA: Maxis telah dipilih oleh syarikat bekalan air bersepadu Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill) sebagai penyedia salinghubungan suara dan awan.
Syarikat telko itu akan memanfaatkan portfolio dan keupayaannya dalam penawaran penyelesaian konvergen yang luas untuk menyokong digitalisasi Ranhill yang menumpukan kepada kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan.
Menurut Maxis, dengan gred rangkaian perusahaan yang menerajui industri, Maxis akan menghubungkan 77 tapak Ranhill di Johor termasuk ibu pejabat dan loji rawatan air melalui Rangkaian Software-Defined Wide Area Network (SD-WAN).
“Jalur lebar yang tinggi serta daya tahan rangkaian akan meningkatkan keupayaan pengurusan tenaga kerja Ranhill dengan aplikasi terkini. Mereka juga akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan 2,000 pekerja mereka dengan adanya keupayaan data masa nyata,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, melalui keupayaan dan pengalaman unik, Maxis dapat menawarkan Ranhill portfolio perkhidmatan yang terurus sepenuhnya, bersama sokongan 24/7 yang cekap dan jimat dari segi kos.
“Sebagai rakan kongsi mereka, kami ingin memastikan keperluan salinghubungan mereka dipenuhi. Kami harap dapat bantu perjalanan transformasi digital agar mereka Terus Menerajui dalam dunia yang kian berubah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Nor Ifuan Md. Nor pula berkata, pelantikan Maxis sebagai penyedia perkhidmatan dan rakan kongsi kami mencorak langkah untuk merealisasikan visi Ranhill sebagai syarikat utiliti air bertaraf dunia.
“Dengan menghubungkan semua tapak dengan teknologi terkini Maxis, kami dapat menyokong rakyat Johor dengan bekalan air berkualiti menerusi pengurusan yang cekap. Kami kini mempunyai infrastruktur dan platform yang diperlukan untuk memanfaatkan pendigitalan sebagi usaha berterusan kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya. – UTUSAN










