PETALING JAYA: Kos kerugian banjir di Malaysia tahun lalu mencecah RM6.1 bilion, jelas Jabatan Perangkaan dalam Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021.
Laporan itu membentangkan impak banjir di Malaysia 2021, kajian kes di sekitar Lembah Klang dan statistik ekonomi sosial di peringkat daerah.
Kajian itu telah dijalankan pada 30 Disember 2021 sehingga 27 Januari lalu dengan negeri-negeri yang terkesan bencana terbabit adalah Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kerugian meliputi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian.
“Jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir bernilai RM6.1 bilion bersamaan 0.40 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.
“Tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion, kenderaan (RM1.0 bilion), pembuatan (RM0.9 bilion), premis perniagaan (RM0.5 bilion), pertanian (RM90.6 juta) dan aset awam & infrastruktur (RM2.0 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, dari segi tempat kediaman, Selangor mencatatakan kerugian tertinggi berjumlah RM1.0 bilion, diikuti Pahang (RM425.6 juta) dan Melaka (RM69.7 juta).
Katanya, bagi Selangor, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah daerah Petaling sebanyak RM258 juta, diikuti Hulu Langat (RM253.6 juta) dan Klang (RM252.8 juta).
Di Pahang pula katanya, Kuantan merupakan daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM197.4 juta, diikuti Temerloh (RM95.1 juta) dan Bentong (RM60 juta). Seterusnya, daerah Melaka Tengah merekodkan kerugian tertinggi bagi negeri Melaka dengan jumlah RM60.8 juta, diikuti Alor Gajah (RM6.9 juta) dan Jasin (RM2 juta).
Bagi kenderaan, Mohd. Uzir berkata, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Selangor RM855 juta diikuti Pahang (RM78.2 juta), dan Negeri Sembilan (RM18.3 juta).
“Dari segi kerosakan sektor pembuatan, Selangor merekodkan kerugian tertinggi di Malaysia berjumlah RM884.5 juta, diikuti Pahang (RM5.6 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.2 juta). Selangor juga mencatatkan jumlah tertinggi bagi kerugian premis perniagaan, berjumlah RM396.4 juta,” jelas beliau. – UTUSAN










