LONDON: Kekayaan Elon Musk melonjak sebanyak AS$33.8 bilion (RM141.33 bilion) setelah Tesla Inc melaporkan telah memecahkan rekod sebelumnya untuk penghantaran kenderaan.
Ia sekali gus mendorong kenaikan saham pembuat kereta elektrik itu dan mencipta satu lonjakan terbesar dalam kekayaan pemiliknya.
Kekayaan Musk kini mencecah AS$304.2 bilion (RM1.27 trilion), menurut Indeks Billionaires Bloomberg, diikuti pengasas Amazon, Jeff Bezos di tempat kedua dalam dengan kekayaan AS$196 bilion (RM820.46 bilion).
Saham Tesla meningkat 13.5 peratus kepada AS$1,199.78 (RM5,022.28) awal minggu ini selepas keputusan suku keempatnya ternyata melebihi anggaran penganalisis untuk penghantaran kereta.
Penilaian pasaran syarikat melonjak semula melebihi AS$1 trilion bulan lepas selepas penurunan pada November dan awal Disember.
Musk yang memiliki kira-kira 18 peratus syarikat Tesla, membantu mencetuskan slaid apabila mengumumkan akan mengurangkan pegangannya dalam syarikat itu sebanyak 10 peratus.
Beliau telah menjual lebih daripada AS$10 bilion (RM41.86 bilion) saham sejak November, sebahagian daripada rancangan untuk menjana tunai bagi membayar obligasi cukai.
Nilai bersih kekayaan Musk, yang turut merangkumi pegangannya dalam pengeluar roket SpaceX, mencecah paras tertinggi AS$340 bilion (RM1.4 trilion) tahun lepas, mengatasi nilai bersih tertinggi John D. Rockefeller yang diselaraskan inflasi dan menjadikannya orang terkaya dalam sejarah moden.
Beliau telah diumumkan sebagai individu terkaya dunia pada awal 2021, setelah Tesla mencatatkan prestasi mantap pada tahun sebelumnya apabila syarikat itu meningkatkan pengeluaran kereta, melancarkan beberapa kilang baharu dan melaporkan siri suku kewangan menguntungkan yang membolehkan sahamnya melonjak lebih 700 peratus tahun lalu dan disenaraikan dalam indeks berprestij S&P 500.
Musk melakar pencapaian itu selepas berdepan masalah pada 2018, apabila pengawal selia sekuriti AS memintanya meletak jawatan sebagai pengerusi dan membayar AS$20 juta (RM80 juta) bagi menyelesaikan tuduhan menipu pelabur dengan pengakuan palsu di Twitter pada Ogos mengenai kemungkinan bidaan menjadikan Tesla syarikat persendirian, yang kemudiannya digugurkan. – AGENSI










