Jualan kenderaan 2022 dijangka cecah 540,000 unit - Utusan Malaysia

Jualan kenderaan 2022 dijangka cecah 540,000 unit

Proton X50 muncul SUV paling laris di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif dijangka mencecah 540,000 unit tahun ini, berbanding lebih 470,000 unit yang dijangka dicapai pada tahun lalu.

Penganalisis RHB Research, Eddy Do Wey Qing dalam nota kajiannya berkata, ia berdasarkan jangkaan kebanyakan tunggakan pesanan akan dipenuhi pada tahun ini berikutan masalah kekurangan cip dan pelanjutan tempoh pengecuali­an cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih awal daripada jangkaan.

Kata beliau, TIV tahun kewangan 2021 mungkin akan mengatasi ramalan 470,000 unit pihaknya yang memba­yangkan penu­runan 13 peratus tahun ke tahun apabila jumlah sejak awal tahun sehingga November telah mencecah 441,136 unit.

“Pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022 sepatutnya mengimbangi kerugian jualan yang dicatatkan semasa sekatan pergerakan penuh dan memastikan permintaan tinggi, di samping kadar faedah rendah di tengah-tengah kesesakan pengeluaran.

“Pandangan kami kekal sama; kami berpendapat pelanjutan pengecualian SST ke Jun 2022 tidak akan memberi kesan sama seperti yang sebelumnya.

“Ini kerana para pengguna yang ingin memanfaatkan diskaun tersebut sudah pun berbuat demikian 18 bulan lalu,” katanya.

Menurut Eddy, pihaknya turut menjangkakan TIV akan mengurang selama beberapa suku susulan pelaksanaan semula SST sebelum merekodkan pertumbuhan semula.

Sementara itu, kata beliau, 2022 juga merupakan tahun yang mengujakan untuk ken­deraan elektrik berasaskan ba­teri (BEV) melihat kepada insentif-insentif kenderaan elektrik (EV) yang diberikan kerajaan untuk pengguna yang diperlukan bagi meningkatkan penggunaan BEV.

Jelas beliau, pihaknya berpendapat pengecualian duti dan SST akan merapatkan jurang harga antara kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) tradisional dengan EV.

Untuk itu, walaupun sektor automotif mungkin membuka peluang kepada pelabur yang ingin beralih kepada pemulihan kitaran pada 2022, pihaknya mengekalkan saranan neutral terhadap sektor tersebut berikutan kekangan jangka terdekat diramal kekal berlaku.

“Hal ini termasuklah kekurangan komponen penting berterusan yang mampu melambatkan pelancaran model baharu dan gangguan daripada kes Covid-19 dalam kalangan tenaga kerja.

“Dengan virus Covid-19 bermutasi, kami tidak dapat menolak kemungkinan berlakunya sekatan pergerakan pada masa hadapan dan kami percaya hal ini akan mencetuskan risiko-risiko negatif juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN