Johor Port teruskan operasi optimum - Utusan Malaysia

Johor Port teruskan operasi optimum

PEMANDANGAN dari udara Pelabuhan Johor. Johor merekodkan peningkatan eksport sebanyak 20.6 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC terus beroperasi pada tahap optimum berdasarkan keperluan operasi pelabuhan walaupun berdepan tahun yang mencabar akibat penularan wabak Covid-19.

Pelabuhan tersebut tetap menyediakan perkhidmatan penting dalam memastikan perdagangan negara terus berfungsi tanpa gangguan terhadap aktiviti import, eksport dan logistik.

Johor Port dalam kenyataan memaklumkan, secara kritikal, cabaran pandemik telah memberi peluang kepada Pengurusan Johor Port untuk mencari kecekapan Operasi yang merangkumi penyelarasan proses berterusan, menaik taraf peralatan dan pengurusan yang berkesan.

Menurutnya, di sebalik pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang seterusnya mengakibatkan penutupan kebanyakan industri dan kilang beroperasi pada kapasiti minimum, Johor Port masih meramalkan pertumbuhan satu peratus volum keseluruhan tahun ke tahun.

“Pelabuhan juga telah melancarkan Pelan Penambahbaikan Operasi Terminal Kontena yang memfokuskan pada Penambahbaikan Produktiviti dan Kecekapan Yard yang telah menghasilkan Pergerakan Kasar Sejam (GMPH) lebih baik sebanyak 25 GMPH kren berbanding 22 GMPH sebelum ini.

“Kepelbagaian kargo, kemampanan dan daya tahan Johor Port membolehkan pelabuhan mengharungi pandemik walaupun ia telah memberi kesan kepada volum kargo Clinker disebabkan aktiviti pembinaan yang lebih rendah semasa PKP serta volum petroleum yang kurang disebabkan penggunaan yang lebih rendah dan penutupan sempadan.

“Bagaimanapun, volum untuk produk dan komoditi penting lain dari segi Barangan berkaitan Makanan dan Perladangan seperti minyak kelapa, gandum, jagung, PKS, PKE dan baja kekal kukuh,” menurut kenyataan itu.

Johor Port baru-baru ini juga telah merangkul Anugerah Syarikat Paling Berpengaruh Asia di Anugerah Kecemerlangan Korporat & Kelestarian Asia (ACES) 2021.

Selain itu, kumpulan turut menandakan satu lagi kejayaan dengan memenangi dua anugerah di Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) bagi Sektor Perkhidmatan di bawah Kategori 4 (Syarikat domestik dengan perolehan jualan melebihi RM100 juta) dan Anugerah Perdana Menteri, anugerah tertinggi pada majlis Anugerah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Derick Basir berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk berinovasi dan menjadikan Johor Port sebagai antara pelabuhan pelbagai guna paling cekap di rantau ini.

“Anugerah tersebut adalah bukti keupayaan kumpulan untuk memahami dan menampung keperluan pasaran serta dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN