PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna Disember 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan.
Menurutnya, kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu sebanyak 1.9 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, selain peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan beralkohol sebanyak 3.2 peratus, dan pengangkutan (9.5 peratus), kadar inflasi pada Disember 2021 didorong oleh kenaikan harga kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api Lain (3.4 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.7 peratus) dan restoran & hotel (1.3 peratus).
Kata beliau, makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada perbelanjaan isi rumah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada Disember 2021.
Jelasnya, peningkatan indeks harga kumpulan makanan & minuman bukan alkohol disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi bagi penyediaan makanan di rumah
“Hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Disember 2021, susulan peralihan Monsun Timur Laut telah mendorong kenaikan harga makanan terutamanya sayur-sayuran dan ikan & makanan laut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir menambah, peningkatan indeks harga kumpulan Pengangkutan yang lebih perlahan berbanding November 2021 (12.7 peratus) adalah disebabkan oleh harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Disember 2020 yang telah naik kepada RM1.74 seliter yang telah mengecilkan perbezaan antara harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05).
Katanya, kesemua negeri menunjukkan peningkatan IHP di mana lapan negeri melepasi paras inflasi nasional 3.2 peratus.
“Inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding Disember 2020. Kadar inflasi tahunan pada 2021 menunjukkan peningkatan 2.5 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada tahun 2020.
“Peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia.
“Kadar inflasi di Amerika Syarikat meningkat kepada 7.0 peratus pada Disember 2021, tertinggi sejak Jun 1982. Tenaga merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan pada Disember 2021 (29.3 peratus). Sementara itu, kadar inflasi di Zon Euro telah meningkat untuk bulan keenam berturut-turut kepada rekod tertinggi sebanyak 5.0 peratus pada Disember 2021 (November 2021: 4.9 peratus),” katanya. – UTUSAN










