PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang mengukur purata perubahan harga dikenakan oleh pengeluar barangan dalam sesuatu industri, meningkat 10 peratus pada Disember 2021.
Peningkatan itu adalah kesan daripada harga komoditi utama yang meningkat pada kadar lebih rendah, namun tekanan inflasi masih berterusan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Disember 2021 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 45.1 peratus berbanding kejatuhan 40.0 peratus yang dicatatkan pada Disember 2020.
“Harga minyak mentah (46.8 peratus) dan gas asli (37 peratus) yang lebih tinggi menyumbang kepada kenaikan ini.
“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat pada kadar sederhana iaitu 10.9 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks perikanan (12.4 peratus), pengeluaran ternakan (11.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (11.2 peratus).
“Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 7.6 peratus berbanding peningkatan marginal 0.2 peratus yang dicatatkan pada setahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, kenaikan itu disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (22.3 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.1 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (15.6 peratus).
Selain itu, jelasnya, indeks bagi subsektor pembuatan produk plastik, pembuatan produk getah dan pembuatan besi dan keluli asas turut meningkat.
Menurut Mohd. Uzir, indeks utiliti merekodkan peningkatan secara marginal masing-masing dengan 0.9 peratus dan 0.7 peratus bagi indeks bekalan air dan indeks bekalan elektrik dan gas.
Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut pemprosesan pula, beliau memberitahu, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 21.4 peratus berbanding penurunan 10 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, peningkatan dipengaruhi terutama oleh harga yang lebih tinggi bagi komoditi bukan makanan antaranya minyak mentah, buah tandan segar kelapa sawit dan bahan bakar selain diesel.
“Berbanding inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara lain, IHPR di China meningkat 10.3 peratus pada Disember 2021 berbanding 12.9 peratus yang dicatatkan pada November 2021.
“Sementara itu, IHPR di Taiwan meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021 berbanding peningkatan 14.2 peratus yang dicatatkan pada November 2021.
“Pada Disember 2021, IHPR di Amerika Syarikat (AS) meningkat 9.7 peratus tahun ke tahun,” katanya. – UTUSAN










