NEW YORK: Bekas Pengerusi Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay yang terjerumus ke dalam pembubaran sementara minggu lalu, menuduh kerajaan Jerman memungkiri janji untuk menyediakan modal kepada unit pembinaan kapalnya.
Masalah tersebut mengakibatkan pengendali kapal persiaran itu terpaksa mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya.
Kok Thay dalam surat bertarikh 24 Januari yang dilihat oleh Bloomberg News berkata, sebagai sebahagian urus niaga penstrukturan semula tahun lalu, pentadbiran terdahulu Jerman bersetuju menyediakan kredit berjumlah AS$620 juta (RM2.5 bilion) untuk membantu MV Werften meneruskan pembinaan kapal persiaran yang dipanggil Global Dream.
Namun menurutnya, apabila Jerman diambil alih oleh kerajaan baharu pada Disember lalu, satu pengaturan alternatif yang dianggap sebagai ‘tidak munasabah’ dikemukakan dan jaminan peribadi diminta.
Kerajaan Jerman juga tidak membenarkan Genting Hong Kong untuk mengakses deposit tunai yang penting selepas Kok Thay menyuntik AS$30 juta (RM125 juta) sebagai prasyarat.
“Kami berada dalam kedudukan sekarang kerana pihak terbabit tidak memenuhi komitmen berkontrak yang dirunding secara tanpa mengenal penat sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula Jun 2021,” kata Kok Thay dan bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Colin Au.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, pegawai-pegawai Jerman menegaskan mereka sudah melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan MV Werften.
Menteri Ekonomi, Robert Habeck, awal bulan ini menyalahkan Genting di atas kegagalan syarikat pembinaan kapal itu dan mendakwa kerajaan sudah menawarkan pinjaman sebanyak AS$670 juta (RM2.8 bilion) dengan syarat Genting menyediakan tambahan 60 juta euro serta penjamin untuk mendapatkan dana persekutuan namun tawaran tersebut ditolak.
Kementerian Ekonomi Jerman dalam satu kenyataan e-mel memaklumkan, kerajaan berjanji untuk mengekalkan operasi MV Werften semasa pandemik melalui Dana Penstabilan Ekonomi (WSF) Jun lalu dan mengemukakan tawaran pinjaman pada Oktober untuk menyiapkan pembinaan kapal Global Dream.
“Bagi memenuhi tanggungjawab limbungan kapal, syarikat induk iaitu Genting Hong Kong perlu membuat sumbangan kewangan sewajarnya untuk menutup jurang kecairan jangka pendek dan mendapatkan pinjaman disediakan oleh WSF.
“Ia amalan biasa dalam konteks langkah penstabilan WSF bagi pemilik membuat sumbangan mereka sendiri,” menurut kenyataan kementerian berkenaan kepada Bloomberg.
Genting Hong Kong menjadi pengendali kapal persiaran terbesar di seluruh dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya semasa pandemik.
Ia selepas syarikat itu pada 19 Januari lalu memfailkan kepada Mahkamah Tinggi Bermuda untuk melantik pembubar sementara apabila kehabisan ‘segala usaha yang wajar’ untuk berunding dengan pemegang kepentingan dan penyedia pinjaman.
Kapal persiarannya di Hong Kong digantung, walaupun sebelum itu turut disebabkan oleh sekatan Covid-19 yang dikenakan oleh bendar raya berkenaan, manakala tempahan dari Singapura turut dihentikan. – AGENSI










