F&N kekal berdaya tahan walaupun terdapat cabaran - Utusan Malaysia

F&N kekal berdaya tahan walaupun terdapat cabaran

LEMBAGA Pengarah F&N selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) kekal berdaya tahan dan komited walaupun terdapat cabaran dalam pasaran berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunannya ke-60 semalam, kumpulan telah membentangkan strategi dan hala tuju jangka panjangnya bagi memacu pertumbuhan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, keadaan pasaran pada tahun kewangan 2022 (TK2022) kekal mencabar berikutan pendemik Covid-19 yang berlanjutan dan harga komoditi yang dijangka terus meningkat, tetapi itu tidak akan mengalihkan fokus F&N daripada inisiatif-inisiatif strategiknya ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Bagaimanapun, jangkauan jangka pendek, kami tetap yakin dengan potensi jangka panjang pasaran kami.

“Kumpulan telah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 139 tahun sejarah kami dan kunci kepada ketahanan kami ialah keupayaan untuk menerima kesan jangka pendek untuk kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Melangkah ke 2022, Lim memberitahu, kumpulan akan menekankan penambahbaikan dan pengurusan kos, terutamanya Kos Barang Dijual (COGS), termasuk mengkaji semula perbelanjaan perdagangan, pelaburan perbelanjaan modal strategik (Capex) untuk meningkatkan kecekapan, dan perolehan pintar untuk mendapatkan nilai yang lebih baik.

Kumpulan juga akan memanfaatkan keupayaan segmen pembuatannya yang kukuh, mempelbagaikan rangkaian produk, dan memperhalusi campuran dan harga produk bagi mencapai keuntungan maksimum.

“Berdasarkan pulangan aktiviti ekonomi yang menggalakkan, kami akan terus membina strategi pemasaran adaptif bagi merebut peluang dalam persekitaran yang giat berubah.

“Kami percaya bahawa kami bersedia untuk mengharungi cabaran, sepertimana kami telah mengatasi gangguan dan ketidakpastian pasaran akibat Covid-19 untuk mencapai prestasi yang berdaya tahan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Untuk jangka masa yang lebih panjang, kumpulan kekal teguh dalam keutamaan strategiknya dan akan terus membina tonggak perniagaan keempatnya iaitu Makanan Berbungkus Halal.

Setahun selepas mengambil alih Syarikat Sri Nona, ia telah memberi sumbangan positif sulungnya kepada TK2021.

Kumpulan beranggapan bahawa jenama Sri Nona masih mempunyai banyak potensi untuk direalisasikan, terutamanya bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk produk makanan yang mudah dan sedia dihidang.

Perniagaan makanan halal berkembang pada kadar dua digit. Oleh itu, kumpulan sedang mengkaji untuk memperluaskan rangkaian produk dan kapasiti pengeluaran sebagai salah satu strategi jangka panjang untuk terus berkembang di dalam pasaran Halal.

Kegiatan eksport akan terus menjadi keutamaan bagi Food & Beverage Malaysia dan Food & Beverage Thailand pada TK2022.

Ketahanan kumpulan dalam menguruskan ketidaktentuan Covid-19 diperkukuh oleh kepelbagaian produk dan kehadiran geografi yang strategik.

Pertumbuhan eksport yang kukuh telah menyumbang hampir RM900 juta atau 21.7 peratus daripada hasil Kumpulan pada TK2021, didorong oleh prestasi mantap di Indochina, China, Asia Barat dan Afrika.

Itu melonjakkan pertumbuhan positif hasil F&N TK2021, yang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.6 peratus dalam setahun yang dilanda pandemik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN