Fahami obligasi ratifikasi RCEP - Utusan Malaysia

Fahami obligasi ratifikasi RCEP

Orang ramai mengunjungi pusat beli-belah Pavalion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneruskan sesi keterlibatan (engagement) dengan usahawan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka memahami obligasi negara terhadap Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal dikuatkuasakan 18 Mac ini.

Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mengadakan sesi keterlibatan dengan peme­gang taruh sebelum meratifikasi RCEP agar semua pihak tahu faedah yang bakal diperoleh menerusi perjanjian kerjasama tersebut.

“Semua sudah dibentangkan dalam sesi libat urus dan kita komited bagi memberi peluang kepada syarikat tempatan terma­suk PKS mendapatkan pelbagai faedah daripada perjanjian ini.

“Antara yang penting adalah akses pasaran yang lebih luas kerana pasaran semasa adalah terlalu kecil. Menerusi RCEP, kita mendapat akses satu pertiga daripada populasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

“Ini sudah tentu memberi peluang yang lebih besar kepada syarikat tempatan untuk me­nembusi pasaran baharu dalam kalangan negara Asean. Kadar tarif juga lebih rendah atau terhapus, sekali gus membuka ruang untuk bersaing dengan syarikat-syarikat di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana MITI dan Agensi 2022, di sini semalam.

Media sebelum ini melapor­kan, Malaysia telah menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) RCEP kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu dan akan mula dikuatkuasakan pada 18 Mac ini.

Menurut Mohamed Azmin, banyak kebaikan yang bakal diperoleh daripada perjanjian tersebut dan MITI akan meneruskan sesi keterlibatan de­ngan syarikat tempatan supaya mereka dapat memahami ke­perluan perjanjian seterusnya mengambil peluang mengembangkan operasi mereka di pe­ringkat lebih tinggi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menjelaskan, MITI turut komited untuk menerajui agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang mampu menarik lebih ramai pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan atau fasiliti pembuatan menggunakan teknologi baharu di negara ini.

Ujarnya, agenda ESG ini akan memberikan impak besar terutamanya dalam industri automotif.

“Justeru, MITI akan mela­ku­kan yang terbaik dalam memastikan kita mampu mencapai objektif Dasar Automotif Negara dan memenuhi sasaran pelepasan Gas Rumah Hijau (GhG) sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan oleh Rancangan Malaysia ke-12.

“Bagi menyokong usaha ini, Pasukan Petugas Kenderaan Elektrik (EV) antara kementerian yang diketuai oleh MITI telah ditubuhkan dengan mandat untuk bertindak sebagai platform membincangkan strategi dan melaksanakan langkah-langkah untuk memacu pembangunan EV dan keseluruhan ekosistemnya.

“MITI akan terus mendukung industri untuk merealisasikan transformasi digital dan revolusi industri 4.0 melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (IMP) 2022-2033,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN