PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad telah mengumumkan pertukaran nama syarikat kepada Capital A Berhad (Capital A).
Pertukaran nama itu mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat turut memperkenalkan logo bagi memperkukuhkan visi Kumpulan sebagai bukan sekadar syarikat penerbangan.
“Jenama AirAsia sememangnya sinonim dengan syarikat penerbangan, tetapi sudah lama saya berhasrat untuk memanfaatkan data yang telah kami bina selama 20 tahun dan menggabungkan teknologi baharu dalam industri untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas dan lebih daripada sekadar tempahan penerbangan. Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan strategi tersebut.
“Strategi di sebalik pertukaran nama ini adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras kami dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti.
“Kami percaya bahawa nama syarikat baharu itu juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk kami dan meningkatkan kejayaan Kumpulan kami untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Tony menjelaskan, walaupun Capital A akan menjadi nama baharu Kumpulan, satu perkara yang tidak berubah ialah jenama AirAsia untuk syarikat penerbangannya.
Ujarnya, ia adalah salah satu jenama terkuat di Asia dan menyediakan platform yang kukuh untuk semua produk dan perkhidmatan Kumpulan yang saling bergantung antara satu sama lain.
“Walaupun dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, saya yakin pemulihan akan bermula pada tahun ini. Perjalanan udara domestik sudah mula pulih dalam pasaran utama kami.
“Saya berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan kita akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini,” katanya.
Sejak dua tahun lalu, syarikat itu telah memanfaatkan masa penggantungan penerbangan untuk membina asas kukuh untuk masa depan yang berdaya maju dan berjaya, yang tidak bergantung kepada tambang penerbangan sahaja.
Menurut Tony, Capital A melambangkan era baharu untuk syarikat penerbangan dan semua perniagaan portfolionya sementara mereka memulakan fasa pertumbuhan baharu.
Capital A mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.
Kumpulan juga merupakan satu daripada tiga ejen pelancongan dalam talian (OTA) teratas di ASEAN dan aplikasi itu berada di landasan yang tepat untuk menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini tidak lama lagi.
Semua perniagaan portfolio syarikat terbabit dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawatnya iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan usaha logistik iaitu Teleport.
Menjelang 2026, Capital A menyasarkan syarikat penerbangannya dapat menghubungkan lebih 1 bilion penduduk ASEAN dan syarikat kejuruteraannya, ADE menjadi peneraju industri untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia Tenggara.
Selain itu, AirAsia Super App dapat menjadi aplikasi super pilihan di ASEAN, BigPay mempunyai 10 juta pengguna aktif bulanan, Teleport mempunyai 10 peratus bahagian pasaran di Asia Tenggara dalam industri logistik dan e-dagang, AirAsia Academy mempunyai lima juta pendaftaran di bawah platform teknologi pendidikannya dan AirAsia grocer mencapai lebih 21 juta pesanan bulanan. – UTUSAN










