BNM perkenal dua kemudahan pembiayaan baharu berjumlah RM2 bilion - Utusan Malaysia

BNM perkenal dua kemudahan pembiayaan baharu berjumlah RM2 bilion

BNM arah dua bank alami gangguan perkhidmatan beri penjelasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan dua kemudahan pembiayaan baharu berjumlah RM2 bilion di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut BNM, permohonan untuk kemudahan-kemudahan itu akan dibuka bermula 3 Februari ini sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.

Jelasnya, dua kemudahan pembiayaan itu ialah Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), masing-masing berjumlah RM1 bilion.

“BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan:
a) Pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai; atau
b) Gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

Tambahnya, BRF tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal dengan tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun.

“Bagi IKP dan pembiayaan ekuiti (b), kadar efektif di bawah BRF adalah sehingga 3.5 peratus setahun untuk
pembiayaan tanpa jaminan, atau sehingga 5.0 peratus setahun termasuk sebarang fi jaminan<‘ katanya.

Sementara itu, BNM memberitahu, LCTF disediakan bagi menyokong dan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan dengan institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.

“Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) pada 2050,” jelasnya.

Amalan kelestarian ini termasuk tetapi tidak terhad kepada aktiviti untuk:
* Mendapatkan pensijilan kelestarian;
* Meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran;
* Menambahbaik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan
* Memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis.

“LCTF tersedia untuk PKS daripada semua sektor, sehingga maksimum RM10 juta bagi setiap PKS untuk tujuan pembiayaan modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun. Kadar
pembiayaan adalah sehingga 5.0 peratus setahun, termasuk sebarang fi jaminan,” jelas bank pusat itu.

Menurut Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus, penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank-bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik.

Selain itu katanya, terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan.

“LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan
semula operasi dan proses perniagaan mereka,” ujarnya.

Selain dua kemudahan pembiayaan tersebut, BNM juga telah meningkatkan peruntukan Penambahbaikan Ciri Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) sebanyak RM300 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM500 juta.

Jelas BNM, PKS dan perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000 bagi setiap perusahaan mikro dengan tempoh pembiayaan turut dilanjutkan sehingga 7 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN