PETALING JAYA: Perkhidmatan mengisi minyak mudah alih daripada Petronas Dagangan Berhad (PDB), ROVR, telah melancarkan Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) mini pertamanya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kaedah baharu itu dilaksanakan untuk menyediakan komuniti di Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah akses kepada bahan api yang lebih mudah.
Menteri PDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sangat berguna untuk kawasan yang tiada stesen minyak atau stesen minyak itu tidak dapat digunakan akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
“PCS ROVR itu direka untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan terpencil yang terletak 10 kilometre (km) atau lebih dari stesen minyak, sebagai sebahagian daripada Rancangan Pembangunan Luar Bandar ROVR dan program komuniti kementerian yang bertujuan untuk memastikan masyarakat di kawasan luar bandar dapat akses kepada keperluan asas yang mencukupi dengan harga yang sama seperti di kawasan bandar.
“Dengan akses mudah kepada bahan api, komuniti tempatan di kawasan luar bandar akan dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan mudah, sekali gus membantu mempromosikan pembangunan usahawan kecil dan meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan PCS ROVR pertama yang dibuka dengan kerjasama PDB di Beaufort.
Tambah beliau, pihaknya gembira melihat usaha PDB melalui ROVR itu untuk membantu penduduk luar bandar di Malaysia Timur.
Semasa fasa perintis yang bermula akhir November lalu, PCS ROVR bersaiz 5,000 litre itu beroperasi setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam dan telah melayani hampir 3,500 kenderaan dan menyalurkan lebih 30,000 litre setakat ini.
PDB merancang untuk mengembangkan inisiatif itu ke lebih banyak kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak dengan tapak berpotensi sejauh 50 km dari stesen minyak.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan kementerian untuk memperkenalkan PCS RVOR di Beaufort Sabah.
“Pelancaran inovatif itu menandakan satu kejayaan dalam usaha kami untuk memastikan kebolehcapaian tenaga yang penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial.
“ROVR juga telah membuktikan kepentingannya semasa krisis dengan berkhidmat di kawasan yang dikenakan sekatan perjalanan dan kawasan yang dilanda banjir.
“Pelancaran itu mengesahkan strategi kami untuk menyediakan penyelesaian perniagaan kukuh yang turut memberi perkhidmatan kepada keperluan masyarakat selaras dengan janji kamu untuk menjadikan hidup anda lebih mudah dan lebih baik,” katanya.
Kini, ROVR berkhidmat untuk perniagaan di Lembah Klang, Kuantan dan Johor dengan menawarkan penghantaran terus bahan api.
Ia juga memberi perkhidmatan kepada pemandu dalam komuniti yang terjejas akibat banjir dan bencana alam lain apabila diperlukan. – UTUSAN










