PETALING JAYA: British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) sekali lagi dianugerahkan gred tertinggi 4 bintang dalam penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Bursa Malaysia.
Pencapaian empat bintang tersebut bermakna BAT Malaysia berada dalam kalangan 25 peratus syarikat senaraian awam terbaik di Malaysia dari segi prestasi ESG.
Pengaran Urusannya, Nedal Salim berkata, kejayaan mendapat penarafan empat bintang menggambarkan komitmen berterusan BAT Malaysia dalam mengangkat pengamalan ESG berpiawaian tinggi.
Kata beliau, usaha ESG pihaknya menyokong sasaran masa hadapan yang lebih baik, yang meletakkan kemampanan sebagai elemen penting dalam setiap perkara yang mereka lakukan.
“Memasuki 2022, kami akan terus berusaha ke arah mengurangkan kesan kesihatan perniagaan kami sementara terus menerajui kecemerlangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“Kami percaya ini akan memandu kemampanan jangka panjang syarikat dan mencipta nilai untuk pengguna, masyarakat, pekerja dan pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penarafan FTSE Russell Bursa Malaysia mengukur kualiti keseluruhan pengurusan syarikat dalam isu ESG.
Model data ESG-nya dipantau oleh jawatankuasa luaran bebas merangkumi pakar dari komuniti pelaburan, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan ahli akademik serta menyokong penjajaran dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
FTSE Russell merupakan peneraju penyedia indeks global yang mencipta dan mengurus pelbagai indeks, data dan penyelesaian analitik.
Meliputi 98 peratus daripada pasaran boleh labur, indeks FTSE Russell menawarkan gamabran sebenar pasaran global. – UTUSAN










