Ayam Putih taja pasukan bola sepak Liga M3 - Utusan Malaysia

Ayam Putih taja pasukan bola sepak Liga M3

ERRA EMIRA bersama pengurusan tertinggi Ayam Putih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ayam Putih Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemprosesan ayam segar di Malaysia membawa jenamanya ke industri bola sepak Malaysia menerusi kerjasama Kelab Bola Sepak Tok Janggut Warriors (TJWFC) sebagai penaja rasmi Kejohanan Liga M3 tahun ini.

Majlis menandatangani perjanjian antara Ayam Putih dan TJWFC telah diadakan pada 24 Disember 2021, yang menetapkan tajaan Ayam Putih berjumlah RM150,000 untuk keseluruhan Liga M3 musim 2022 yang bakal bermula Februari ini.

Pengarah Urusan Ayam Putih Sdn. Bhd., Erra Emira berkata, pihaknya akan berusaha untuk membawa TJWC FC ke tahap yang lebih tinggi dalam kancah bola sepak Malaysia.

“Kerjasama ini sememangnya satu peristiwa penting untuk Ayam Putih kerana kami berbesar hati untuk menyokong TJW FC dalam kejohanan Liga M3 Malaysia tahun ini.

“Kami berharap kerjasama kami dengan TJW FC serta sokongan terhadap kelab ini akan membantu pasukan bangkit menyahut cabaran,” katanya dalam kenyataan.

Liga M3 Malaysia ialah liga bola sepak peringkat ketiga sistem liga bola sepak Malaysia yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada cita-cita Liga Bola Sepak Malaysia untuk merombak struktur liga di Malaysia, selain pengganti kepada Liga FAM Malaysia yang telah dibubarkan.

Tambah Erra Emira, bola sepak adalah sukan paling popular di Malaysia yang menyatukan seluruh negara dan kerjasama ini membantu pihaknya mencapai matlamat untuk membawa TJW FC ke dalam Liga Perdana Malaysia dalam masa terdekat.

“Kami gembira menjadi organisasi ternakan ayam tempatan yang pertama menaja pasukan bola sepak M3 di Malaysia. Kami berharap kerjasama ini akan melabur dalam pertumbuhan pentas bola sepak di Malaysia,” ujarnya.

Liga M3 2022 dijangka bermula pada Februari ini dengan 16 pasukan dari musim sebelumnya yang akan bersaing bersama empat pasukan baharu termasuk TJW FC.

Ayam Putih ialah syarikat milik penuh bumiputera dan merupakan organisasi milikan tunggal yang ditubuhkan pada 26 Jun 2015. Pada 21 Mei 2019, Ayam Putih telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 di mana syarikat tersebut bertindak
sebagai syarikat swasta.

Pusat operasi utama syarikat ini terletak di Pt 1208 Jalan Kubang Kacang Kg Tiong Kubang Kacang 16010 Kota Bharu Kelantan, dan menjalankan perniagaan berasaskan ayam pedaging yang merangkumi membekal anak ayam, makanan ayam, menternak, membeli ayam dari ladang ternakan, menghantar ayam hidup kepada kemudahan pemprosesan, pemprosesan, dan penghantaran ayam siap yang diproses kepada pengguna akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN