CYBERJAYA: Bina rumah banglo idaman pada harga mampu milik. Itu tawaran menarik syarikat kontraktor perumahan, Al Ansar IBS PLT melalui promosi awal tahun bermula semalam hingga 25 Mac depan.
Menggunakan kaedah Inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), syarikat yang berpengalaman 25 tahun itu memperkenalkan lima rekaan rumah terbaharu yang mempunyai tiga hingga lima bilik dan ditawarkan daripada harga terendah selepas diskaun iaitu antara RM135,000 sehingga RM295,000 sebuah.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, antara rekaan seni bina rumah itu Mawar, Jasmine, Zulaikha, Sakura dan Elyna yang boleh dilihat secara virtual tour di www.bangloibs.com.
“Ramai sedia maklum bahawa Al Ansar mempunyai rekod menyiapkan banglo IBS kurang daripada enam bulan, malah pelanggan mempunyai peluang mengunjungi tapak pembinaan untuk melihat sendiri fasa pembinaan rumah masing-masing.
“Justeru tidak timbul masalah kontraktor tidak telus,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Banglo IBS Mesti Bina 2022 anjuran syarikatnya di sini semalam.
Muhamad Khanafi berkata, lebih mengujakan, pihaknya menerima permintaan lebih tinggi sejak kebelakangan ini dalam kalangan pelanggan yang bakal menamatkan perkhidmatan atau selepas bersara.
Katanya, ia sekali gus membuktikan ramai dalam kalangan pesara membuat keputusan terbaik di usia matang dengan mempunyai simpanan tunai mencukupi, malah mampu membinanya di atas tanah sendiri.
“Menariknya ada dalam kalangan pesara membina kediaman yang kedua atau ketiga sebagai lokasi khas untuk berkumpul dengan anak-anak dan ahli keluarga. Bermakna mereka mengawal kemampuan bajet, bebas menentukan reka bentuk idaman dan kos mengikut harga nilai semasa,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh hasil jualan bernilai RM25 juta mengikut kategori bagi tahun ini.
Selain banglo mampu milik, syarikat pembinaan dan jualan perumahan itu menawarkan tiga kategori lain Banglo IBS Mampu Milik (RM12 juta), Banglo IBS Hybrid Premium (RM8 juta) dan projek baik pulih kediaman (RM5 juta) yang mempunyai beberapa unit rumah.
“Pada tahun lalu sahaja, dengan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, syarikat berjaya menyiapkan 12 unit rumah dengan nilai jualan RM10 juta.
“Baki 38 unit lagi dengan anggaran keseluruhan RM6.9 juta sedang dalam proses pembinaan yang dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, permintaan daripada pelanggan di Lembah Klang merangkumi 40 peratus berbanding negeri-negeri lain. – UTUSAN










