AirAsia peroleh lesen penerbangan dron dari CAAM - Utusan Malaysia

AirAsia peroleh lesen penerbangan dron dari CAAM

Kapten Ling Liong Tien (hadapan, kanan) bersama pasukan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) AirAsia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia memperoleh Sijik Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan latihan penerbangan dron.

Latihan kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal pula di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien berkata, pihak berbesar hati untuk menjadi pusat latihan pertama di Malaysia yang memperoleh kelulusan daripada CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO).

Menurut beliau, idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran Kumpulan selama dua dekad.

“Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos.

“Kami komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas,” katanya dalam kenyataan.

Latihan itu dijangka akan menyokong projek perintis menggunakan dron automatik pada masa akan datang bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang AirAsia, jelas syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam pula berkata, syarikat berbangga untuk memacu revolusi penghantaran menggunakan dron di Malaysia.

Kata beliau, ia bukan sahaja pasaran yang lumayan, malah kian meningkat dengan di peringkat global, industri itu telah pun berkembang pesat dan dijangka mencecah AS$7.388 bilion menjelang 2027.

“Program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars kami dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia.

“Tiada pengalaman terdahulu dalam pengendalian dron diperlukan menjadikan ini peluang terbaik untuk semua orang mengambil bahagian dalam latihan ini.

“Selain itu, latihan ini menyokong visi kami untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran dron dalam bandar pada masa hadapan untuk pelbagai barangan termasuklah barangan runcit daripada platform e-dagang AirAsia. Kami juga percaya ia berpotensi untuk menyokong perkhidmatan penghantaran ke kawasan terpencil, contohnya penghantaran bekalan penting semasa bencana alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN