
PETALING JAYA: UMW Toyota Motor bakal melancarkan kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara (CKD).
Menurut UMW Toyota Motor, model Corolla Crosss Hibrid itu dalam peringkat praproduksi di ASSB, kilang pemasangannya di Bukit Raja dekat sini.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, sejak syarikat memulakan pemasangan tempatan untuk Corolla Cross Hibrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan pihaknya gembira ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih kepada teknologi kenderaan hibrid elektrik.
Jelasnya, Toyota telah mengeluarkan kenderaan hibrid elektrik sejak akhir 1990-an dan sentiasa menambah baik serta memajukan teknologi agar rakyat Malaysia menerima manfaat hasil daripada eksperimen yang panjang itu.
“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.
“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek. Saya juga ingin katakan yang sebaik sahaja kereta diserahkan, pemiliknya yang baharu pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut UMW Toyota Motor, harga Corolla Cross Hybrid baharu dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dengan waranti kilang lima tahun/tanpa had perjalanan.
Selain itu, katanya, untuk memberi kelegaan, jaminan lapan tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa turut diberikan.
“Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.
“Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN










