PETALING JAYA: Disebabkan kejadian banjir yang menimpa beberapa negeri baru-baru ini, industri insurans am dijangka menghadapi kira-kira RM2 bilion hingga RM3 bilion tuntutan, termasuk potensi dan jumlah sebenar tuntutan risiko komersial serta peribadi.
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), jangkaan tuntutan tersebut disebabkan oleh kejadian banjir kilat baru-baru ini dan musim monsun yang akan melanda dalam beberapa minggu atau bulan mendatang.
Katanya, selain daripada jangkaan jumlah tuntutan tersebut, industri insurans am turut akan menyumbang RM2.43 juta kepada Tabung Bantuan Banjir @ Disember 2021 yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu komuniti yang terjejas akibat kejadian tersebut.
“Inisiatif industri insurans am ini adalah tambahan kepada komitmen sedia ada oleh syarikat insurans sejak berlakunya bencana banjir.
“Ini termasuk mempercepat penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan istimewa tambahan dan melanjutkan bantuan ex-gratia segera seperti yang ditentukan setiap syarikat insurans am,” katanya dalam kenyataan semalam.
PIAM menjelaskan, bantuan CSR akan mula diberikan dalam bentuk subsidi untuk proses baik pulih kenderaan di bengkel yang rosak akibat banjir, terhad kepada sekali beri untuk satu kenderaan dengan jumlah RM500 untuk kereta atau kenderaan komersial dan RM100 untuk motosikal.
Katanya, penuntut perlu menyediakan bukti mencukupi kerosakan akibat banjir pada kenderaan mereka dan bukti liputan insurans.
“Kenderaan tersebut mestilah sama ada sedang diinsuranskan (apa-apa jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.
“Pada tahap ini, dana akan ditutup apabila jumlah RM2.43 juta habis digunakan,” katanya.
Selari dengan objektif CSR, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain untuk dana bantuan banjir tersebut.
Katanya, sumbangan yang diberikan akan memanjangkan tempoh dana, sekali gus membantu lebih ramai pengguna kenderaan yang terkesan.
“Aspek dan perincian operasi bagaimana pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan untuk CSR tersebut akan diumumkan.
“Dalam tempoh interim ini, kami menasihatkan pemilik kenderaan yang terkesan untuk mengambil perhatian tentang syarat tuntutan berkaitan kelayakan dan bukti bergambar atau berdokumen,” katanya. – UTUSAN










