BAYANGKAN anda dapat memulakan hari anda dengan suasana sejuk dan nyaman serta dikelilingi kabus pagi di puncak bukit, atau mendengar deruan ombak dan cahaya matahari yang memancar di setiap ruang kediaman.
Sudah tentu setiap hari anda bagaikan sedang dalam percutian yang mendamaikan bersama keluarga.
Menyedari ciri menarik tersebut, pemaju hartanah Tropicana Corp. Bhd. menawarkan kediaman servis gaya resort di dua lokasi percutian terkenal di Malaysia iaitu Tropicana Grandhill di Genting Highlands, Pahang dan Tropicana Cenang di Langkawi, Kedah.
Dua projek gaya resort itu diperkenalkan menerusi Tropicana Journey Collection (TJC) yang bertemakan ‘kediaman di tepi bukit’ dan kediaman di tepi laut.’
Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan Tropicana, Joanne Lee berkata, kedua-dua projek baharu itu juga sesuai dijadikan pelaburan hartanah jangka panjang, sesuai dengan jumlah pelancong yang memilih dua lokasi tersebut untuk percutian keluarga saban tahun.
“Kedua-dua projek pembangunan bersepadu ini menawarkan unit lengkap dengan perabot, kemudahan bertemakan resort, perkhidmatan bertaraf hotel serta pengurusan harta profesional untuk kesenangan pemilik.
“Dengan tawaran terhad, kedua-dua projek ini berpotensi mendapat permintaan sewaan tinggi ditambah pula dengan adanya pusat komersial untuk kemudahan urusan harian penduduk,” katanya.
Tropicana Grandhill, kediaman di tepi bukit
Dengan hanya 40 minit perjalanan dari Kuala Lumpur dan 20 minit dari puncak Genting Highlands, Tropicana Grandhill menyajikan pemilik dengan suasana nyaman bersuhu 15 ke 20 darjah celsius, serta dikelilingi kehijauan semula jadi yang diimpikan semua.
Ia dibina dalam tiga fasa yang akan menampilkan pelbagai kemudahan kediaman, runcit, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, sekolah antarabangsa, kemudahan kediaman warga emas dan taman rekreasi.
Buat masa ini, unit Fasa 1 telah dibuka untuk jualan pada 5 Disember lalu, iaitu TwinPines Serviced Suites yang dilengkapi dengan 1,443 unit dengan menara A dan B masing-masing dibina 55 dan 56 tingkat. Keluasan unit pula bermula dari 35.2 meter persegi hingga 123.56 meter persegi.
Menurut Joanne, pembangunan itu terletak di atas tanah berkeluasan 112 ekar pegangan bebas, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih daripada RM20 bilion.
Katanya, fasa 1 juga akan dilengkapi dengan jalan raya bertingkat yang menelan belanja RM180 juta bagi kemudahan pemilik, selain sekolah antarabangsa yang dibina di TwinPines Serviced Suites.
“Kesemua unit adalah lengkap dengan perabot dan menariknya, kami tampilkan katil siang (day bed) yang lebih moden berbanding balkoni di dalam bilik tidur utama. Ruang tersebut sudah tentu akan digunakan pemilik untuk bersantai sambil menikmati kehijauan di pinggir bukit.
“Konsep kediaman moden ini amat sesuai untuk semua lapisan umur tidak kira generasi muda ataupun warga emas yang mahukan suasana nyaman di hari tua, selain bakal memberikan pulangan lumayan kepada sesiapa yang mahu menjadikannya aset pelaburan untuk disewa,” ujarnya.
Projek itu turut dilengkapi kolam renang dengan pemanas, gimnasium, dapur gourmet dan banyak lagi untuk kegunaan penghuni.
Antara servis lain yang ditawarkan adalah perkhidmatan mengemas rumah, penyambut tetamu, tempahan, lobi khas untuk tetamu serta program penjagaan rumah kosong.
Tropicana Cenang, kediaman di pinggir laut
Terletak di lokasi strategik dan tumpuan pelancong, Tropicana Cenang seluas 5.28 ekar ini terdiri daripada kediaman, peruncitan dan hotel antarabangsa mewah bertaraf lima bintang.
Projek ini bakal menjadi mercu tanda baharu Pulau Langkawi selain dapat meningkatkan taraf kehidupan penduduk di pulau legenda tersebut.
Untuk pembinaan fasa 1, Assana Serviced Suites, pemilik di setiap unit bakal menikmati keindahan Laut Andaman yang terbentang luas di hadapan mata kerana ia dibina khusus menghadap laut.
Assana Serviced Suites setinggi 39 tingkat itu mempunyai 831 unit manakala Merissa Serviced Suites yang lebih eksklusif menghadap pantai dibina setinggi enam tingkat dengan hanya 60 unit.
Tropicana Cenang menawarkan unit kediaman dengan keluasan antara 35.3 meter persegi hingga 121.7 meter persegi.
Pemilik sudah tentu terpesona dengan pemandangan matahari terbit dan terbenam yang mengagumkan yang dapat dinikmati dari rumah, serta pelbagai aktiviti pantai yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Projek ini juga dilengkapi kolam renang infiniti yang menghadap laut, menjadikan Assana Serviced Suites kediaman percutian sempurna untuk bersantai dan berehat.
Menurut Joanne, projek ini menyasarkan pembeli luar negara namun sejak kehadiran wabak Covid-19, pemasaran lebih kepada warga tempatan yang mahu memiliki kediaman di lokasi pelancongan terkenal ini mahupun sebagai pelaburan. – UTUSAN










