TOKYO: Syarikat penghantaran Amerika Syarikat, Flexport Inc. dilaporkan akan membantu menerbangkan tiga kapal terbang yang sarat dengan muatan kentang ke Jepun.
Penghantaran itu bagi membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan kentang sehingga menyebabkan McDonald’s Jepun mengenakan catuan bagi menu kentang goreng.
“Flexport baru sahaja mengikat kontrak untuk menerbangkan tiga buah pesawat 747 dengan muatan kentang ke Jepun untuk membantu mengatasi kekurangan kentang goreng,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Ryan Petersen dalam tweetnya, tanpa memberikan butiran lanjut.
Petersen dalam satu hantaran minggu lalu memberitahu, beliau telah belajar tentang perjuangan McDonald’s Jepun yang berdepan kekurangan kentang goreng di negara itu.
McDonald’s Holdings Co. Japan pada 21 Disember lalu memberitahu, ia hanya akan menawarkan saiz kecil kentang goreng selepas banjir di pelabuhan Vancouver dan pandemik Covid-19 mengakibatkan bekalan utama untuk menu tersebut terputus.
Rakaman daripada laporan televisyen tempatan menunjukkan pelanggan beratur panjang di sebuah kedai di Tokyo untuk mendapatkan pesanan terakhir kentang goreng mereka dalam saiz lebih besar sebelum catuan berkuat kuasa.
Syarikat makanan segera itu berkata, ia menjangkakan masalah tersebut akan diselesaikan menjelang malam Tahun Baharu dan sedang mengatur penghantaran alternatif seperti menggunakan kapal terbang.
McDonald’s Japan bagaimanapun tidak mengesah atau menafikan laporan ia menggunakan Flexport untuk mengimport kentang. Petersen juga tidak memberikan sebarang komen lanjut mengenai isu berkenaan.
Penjualan kentang goreng bersaiz sederhana dan besar dijangka disambung semula pada 31 Disember, kata seorang jurucakap menerusi telefon semalam.
Kekurangan kentang bukan hanya terhad kepada Jepun. Di New York, kedai burger ikonik J.G. Melon dalam catatan Instagram minggu lalu berkata, ia menangguhkan penjualan kentang goreng kotej disebabkan masalah rantaian bekalan. Aliran produk daripada keju krim ke tender ayam juga mengalami tekanan, jelas syarikat itu. – AGENSI










