PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) tidak bersetuju sekiranya sekatan perjalanan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan semula akibat penemuan varian baharu Covid-19, Omicron yang sedang menular.
Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, walaupun varian baharu itu amat bahaya tetapi sekiranya PKP dilaksanakan semula sehingga menyebabkan banyak perniagaan harus ditutup, maka perniagaan-perniagaan akan bertambah sakit dan tenat.
“Saya tidak bersetuju sekiranya sekatan perjalanan dilaksanakan semula. Kerajaan juga telah berjanji kepada rakyat untuk tidak melaksanakannya selepas sempadan telah dibuka semula beberapa bulan yang lalu.
“Bagi mengelakkan wabak itu terus menular, kemasukan pengembara dari luar negara perlu menjalani saringan ujian pengesanan jangkitan Covid-19. Pihak berkuasa juga harus peka bagi memastikan pengembara yang mempunyai keputusan negatif ujian sahaja dibenarkan masuk ke dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Halim berpendapat, tempoh kuarantin juga harus dipanjangkan kepada 21 hari berbanding hanya tujuh atau 14 hari sahaja bagi membendung penularan wabak itu dalam negara.
Ujarnya, sebagai contoh, antara sebab kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menjadi punca peningkatan kes pandemik Covid-19 dalam negara sebelum ini, adalah kerana terdapat pihak yang menjalani kuarantin selama tiga hari sahaja.
Justeru jelasnya, tempoh itu harus dilanjutkan dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan dalam memastikan setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Selain itu, Abdul Halim mendakwa, peningkatan harga barang sebahagian besarnya disebabkan oleh orang tengah yang mengambil kesempatan perlu ditangani.
Beliau berkata, peningkatan harga terutamanya bahan mentah adalah kerana terdapat orang yang ingin mengambil keuntungan berlebihan.
“Sebagai contoh, pemborong, pengedar atau ejen barang-barang tersebut ingin mengambil kesempatan ke atas kekurangan barang daripada sesetengah negara dengan menaikkan harga.
“Sebagai contoh, India telah mengeluarkan bawang dan harganya telah naik sehingga RM18 tetapi bawang dari China RM6 sahaja,” katanya.
Menurut laporan, varian Omicron setakat ini telah dikesan di lebih 20 buah negara, kebanyakannya negara maju.
Sebahagian negara terbabit telah melaksanakan kembali langkah-langkah pencegahan termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka, mengehadkan perjalanan dan rentas sempadan. – UTUSAN










