PETALING JAYA: Syarikat-syarikat telekomunikasi kekal komited untuk menyokong rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir.
Dalam kenyataan bersama, syarikat-syarikat telekomunikasi memberitahu, secara kolektif, industri telah memperuntukan lebih RM25 juta bagi menyokong usaha-usaha bantuan banjir.
Jelasnya, peka dengan pentingnya keperluan sambungan dalam tempoh ini dan bagi memastikan mereka yang terkesan serta anggota kecemasan boleh kekal berhubung, syarikat-syarikat telekomunikasi telah bertungkus-lumus memulihkan lokasi-lokasi yang terjejas akibat banjir.
“Ini termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menempatkan peralatan sama ada secara tetap atau sementara untuk memastikan sambungan tersedia, termasuklah di lokasi-lokasi penting seperti pusat pemindahan. Setakat ini, syarikat-syarikat telekomunikasi telah memulihkan 99 peratus daripada perkhidmatan dan baikpulih rangkaian mudah alih di semua kawasan yang terjejas banjir,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu mewakili syarikat-syarikat telekomunikasi negara iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan TIME dotCom Berhad (TIME).
Ia susulan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini yang dilaporkan berkata, pihaknya menghargai kolaborasi antara KKMM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang bergantung bahu untuk OPS Bantu Hingga Selesai.
Di bawah projek inisiatif KKMM itu, syarikat-syarikat telekomunikasi telah menggerakkan para sukarelawan daripada organisasi masing-masing bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan sokongan lain yang diperlukan di kediaman-kediaman yang terjejas teruk akibat banjir di Selangor iaitu Taman Sri Muda (Shah Alam), Bukit Changgung (Sepang) dan Taman Sri Nanding (Hulu Langat).
Syarikat-syarikat telekomunikasi dalam kenyataan itu memberitahu, pihak mereka sedang bekerjasama rapat dengan beberapa organisasi termasuk NADMA, Malaysian Relief Agency, Persatuan Bulan Sabit Merah, Yayasan Kebajikan Negara, IMAM Response & Relief Team (IMARET) dan Mercy Malaysia, serta Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) bagi menghantar bantuan kepada mereka yang terkesan dengan banjir.
Bantuan termasuk kotak-kotak makanan, kit penjagaan kesihatan, pakaian, bantuan kewangan dan banyak lagi.
Bagi memberikan sokongan kepada pelanggan masing-masing yang terjejas, setiap syarikat telekomunikasi komited untuk meringankan beban mereka menerusi pelbagai inisiatif yang terdiri daripada GB percuma dan airtime, baikpulih sambungan tetap dan mudah alih serta bantuan pembayaran bil.
“Para pelanggan yang terlibat boleh menghubungi syarikat telekomunikasi masing-masing untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan inisiatif sokongan yang ditawarkan,” jelasnya.
Syarikat-syarikat telekomunikasi juga katanya, menghulurkan bantuan kepada anggota-anggota mereka yang terkesan menerusi pelbagai bantuan kewangan, sementara rakan-rakan pengedar pula dibantu dengan usaha pembersihan premis mereka.
“Pihak industri akan terus sentiasa memantau keadaan dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak berkuasa lain yang relevan bagi menyokong rakyat Malaysia dan membantu mereka mendepani tempoh yang sukar ini bersama-sama,” katanya. – UTUSAN










