NEW YORK: Syarikat-syarikat China menghabiskan masa selama sedekad untuk menjadi pemain dominan dalam tenaga solar dan kini mereka menyasarkan untuk membangunkan satu lagi potensi besar dalam tenaga bersih, iaitu hidrogen.
Syarikat solar utama termasuk Longi Green Energy Technology Co. sedang meningkatkan pengeluaran pengelektrolisis, alat yang diperlukan untuk menghasilkan bahan api paling bersih, iaitu hidrogen hijau.
Menurut Bloomberg, syarikat-syarikat tersebut mempercepat pelaburan dengan jangkaan pasaran itu akan tumbuh apabila industri dan pengguna bertukar ke bahan api yang lebih rendah karbon.
Bagi mendahului perlumbaan tersebut, syarikat-syarikat China akan mengikut strategi permainan sama seperti yang dilakukan untuk mendominasi solar, iaitu mengurangkan harga dan kos pengeluaran, secara dramatik meningkatkan pemasangan dan mempercepat pembangunan teknologi baharu.
Timbalan Pengurus Besar Unit Teknologi Tenaga Hidrogen Longi, Wang Yingge berkata, dalam rantaian bekalan solar, syarikat itu memainkan peranan sebagai peneraju kemajuan industri melalui teknologi.
“Dalam peralatan hidrogen, Longi akan terus memberi perhatian dan melabur besar-besaran dalam penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Longi bercadang membina pengelektrolisis dengan kapasiti pengeluaran 1.5 gigawatt menjelang penghujung tahun hadapan, peningkatan daripada 500 megawatt ketika ini.
Pemilik aset tenaga boleh baharu (RE) terbesar dunia, State Power Investment Corp. pula menyasarkan untuk membina pengelektrolisis dengan kapasiti 10 gigawatt menjelang 2027.
China akan memegang lebih 60 peratus pemasangan pengelektrolisis dunia pada 2022, menurut BloombergNEF.
Pakatan Hidrogen China sebelum ini berkata, bahan api tersebut boleh menjadi 20 peratus daripada campuran tenaga negara tersebut menjelang 2060, tahun yang ditetapkan Presiden China, Xi Jinping untuk menjadi negara bebas karbon.
Walaupun dengan unjuran yang positif, negara itu berhadapan cabaran besar untuk membangunkan pasaran hidrogen.
Industri itu masih jauh untuk menurunkan harga dan ia kehilangan inisiatif utama kerajaan yang membantu menghidupkan sektor solar dan angin.
Hidrogen hijau masih belum kompetitif berbanding bahan api lain. Hidrogen yang dihasilkan setakat ini mlibatkan kos sekurang-kurangnya AS$3.22 (RM13.56) setiap kilogram di China, hampir dua kali ganda kos menggunakan arang, menurut BloombergNEF.
Hidrogen kelabu yang lebih kotor, yang dihasilkan melalui bahan api fosil, merangkumi lebih 63 peratus pasaran pada 2020, berbanding hanya 2.5 peratus untuk hidrogen hijau, menurut kertas putih yang diterbitkan Pakatan Hidrogen China. – AGENSI










