SIRIM STS dilantik penyelaras pembangunan MRIS - Utusan Malaysia

SIRIM STS dilantik penyelaras pembangunan MRIS

DR. AHMAD SABIRIN ARSHAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat SIRIM Berhad, SIRIM STS Sdn. Bhd. dilantik sebagai penyelaras bagi pembangunan Standard Industri Rel Malaysia (MRIS).

Menurut SIRIM, MRIS merupakan sebahagian daripada inisiatif negara untuk memajukan dan menggalakkan daya saing dalam industri rel negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, SIRIM STS ditugaskan untuk membangunkan satu siri standard industri bagi komponen landasan kereta api.

Kata beliau, ia melibatkan ranjang landas konkrit, balast, pad rel, plat tapak, klip, pengikat, kimpalan alumino dan kimpalan temu kilat.

“Pembangunan MRIS ini dijadualkan siap pada 31 Mei 2022. Ia dijangka memberi manfaat yang besar kepada industri rel Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelantikan SIRIM STS sebagai sekretariat bagi industri rel baru-baru ini dibuat oleh agensi di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan, TDA Berhad yang ditubuhkan sebagai kustodian untuk mengoperasikan Rangka Kerja Pengurusan Program Kerjasama Industri Malaysia (ICP).

Menurut SIRIM, pembangunan MRIS akan melibatkan kerjasama dan penyertaan daripada rakan industrinya, iaitu China Communication Construction Company (M) Sdn. Bhd. – George Kent (M) Berhad (CGJV).

CGJV juga merupakan kontraktor pakej kerja atau pembekal ICP untuk projek MRT Laluan Putrajaya.

Tambahnya, bengkel pembangunan MRIS dengan penyertaan semua pihak berkepentingan akan dianjurkan pada 17 Disember ini di Shah Alam sebagai permulaan projek tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN