Harga bahan asas binaan melonjak sehingga 100 peratus
PETALING JAYA: Kontraktor-kontraktor kecil bumiputera di ambang ‘gulung tikar’ sekiranya kerajaan tidak campur tangan segera dalam isu kenaikan harga barangan asas pembinaan yang melonjak sehingga 100 peratus kini.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, isu kenaikan harga barangan asas pembinaan bukan perkara baharu, namun malangnya masih tiada tanda-tanda untuk pulih.
“Selepas berbulan-bulan menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kontraktor kini terpaksa pula berdepan masalah kenaikan harga barangan asas pembinaan.
“Kami amat berharap kerajaan dapat melihat punca yang menyebabkan kenaikan tersebut seterusnya mengawalnya. Satu penyelesaian bersifat menyeluruh dan jangka panjang perlu dilaksanakan supaya kontraktor kecil ini boleh ‘bernafas’ kembali,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Mohd. Zayad, kenaikan harga ini boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan dan ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna akhir.
Jelasnya, kenaikan harga bahan binaan memberi kesan berbeza kepada kontraktor gred kecil dan besar berdasarkan kuantiti pembelian dan faktor lain seperti peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang terhad, serta kos sampingan perniagaan.
“Kenaikan harga kini menunjukkan peningkatan kos pembinaan sebanyak 7.0 peratus sekali gus mengurangkan margin keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil iaitu sekitar 15 hingga 25 peratus.
“Dalam keadaan ini bagaimana kontraktor kecil khususnya kontraktor Melayu nak hidup? Pemegang lesen G1, G2, G3, dan G4, yang kebanyakan mereka ini pula sangat bergantung kepada projek skala kecil dan sederhana,” ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan, agensi-agensi seperti Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta agensi pelaksana berkaitan perlu mengambil langkah segera bagi menangani isu kenaikan kos bahan binaan dengan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri, seterusnya dapat mengemukakan cadangan mengatasinya.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu segera mengambil langkah untuk membantu terutamanya kontraktor kecil yang terjejas,” tegasnya. – UTUSAN










