PETALING JAYA: Penggunaan kad Touch `n Go (TnG) dan SmartTAG di plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS) laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor, akan dihentikan bermula 15 Januari 2022.
Ia akan digantikan dengan kad teknologi Radio Frequency Identification (RFID) yang akan dilaksanakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1).
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), dengan pelaksanaan itu, seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya.
Jelasnya, transaksi tol RFID adalah langkah kementerian ke arah mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Ia bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuh raya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini.
“Pelaksanaan RFID mulai 15 Januari 2022 itu juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (IITS Blue Print) yang diterajui oleh KKR termasuklah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, kutipan tol menggunakan kad TnG dan SmartTAG masih lagi disediakan ketika ini dan akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya berkenaan.
Dengan RFID, pelanggan berpeluang menikmati perjalanan lebih lancar tanpa henti di lorong RFID dengan kelajuan 30km/j.
Selain itu, RFID turut membolehkan pelanggan melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, jelasnya.
RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan TnG eWallet tanpa perlu mengunjungi kaunter tambah nilai. Tag RFID boleh diperolehi dengan kos yang rendah dan berpatutan, tambah KKR.
“KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia ingin mengajak pengguna lebuhraya supaya segera beralih kepada sistem pembayaran tol RFID bagi menikmati pengalaman perjalanan yang lebih baik dan mudah seiring dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya.
Pengguna boleh mendapatkan tag RFID secara online menerusi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go atau ejen pemasaran yang dilantik untuk memasangnya sendiri.
Pembelian dan pemasangan tag RFID juga boleh dibuat di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung Malaysia.
Jumlah pusat jualan dan pemasangan itu akan ditambah bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan tag RFID bagi memudahkan lebih ramai pengguna beralih kepada sistem pembayaran RFID. – UTUSAN










